February 25, 2016

Nyawaku tidak penting

KEBAKARAN dua bangunan mengakibatkan tiga cedera.

Petaling Jaya: “Walaupun tangan saya melecur, namun saya berusaha menyelamatkan nyawa dua anak kecil saya,” kata suri rumah Siti Alwiyah Rahmat, 27, yang terselamat dalam kejadian kebakaran membabitkan dua bangunan di Jalan SS9A/18, di sini.

Dalam kejadian jam 6.10 petang semalam, mangsa yang menetap di tingkat tiga bangunan rumah sewa menempuh detik cemas sebaik menyedari kediaman dihuni terbakar.

“Walaupun api marak, saya beranikan diri turun melalui tangga ke tingkat bawah bersama dua anak, Zarah Ahmad Khalid, dua tahun dan Iqram Ahmad Khalid, enam.

“Selain itu, adik ipar saya, Jumatiah Mutarun, 18, turut cedera ketika cuba menyelamatkan diri,” katanya.

Menurutnya, kejadian berpunca akibat kebakaran yang berlaku di bangunan bersebelahan sebelum api merebak ke kediamannya.

“Sewaktu kejadian saya bersama adik dan dua anak berada di rumah manakala suami (Ahmad Khalid Matarun, 25) belum pulang dari kerja.

“Kami menyedari kebakaran berlaku selepas asap serta api memenuhi bahagian dalam rumah dan tangga utama,” katanya.

Dia kemudian meredah api dan turun melalui tangga kediaman.

“Bagaimanapun tangan kanan saya melecur akibat terpegang besi penghadang tangga yang panas terbakar manakala Aulia dan Jumatiah cedera di tangan serta kaki.” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Siti Alwiyah, kebakaran menyebabkan kediaman dan peralatan rumahnya musnah sepenuhnya.

Katanya, dia sekeluarga kini berlindung di Pusat Pemindahan Sementara, Dewan Serbaguna Seri Setia, di sini, bersama mangsa lain dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, seramai 24 pegawai dan anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 7, Jalan Penchala, Subang Jaya dan Damansara bergegas ke lokasi kejadian

“Api berjaya dipadamkan jam 7.33 petang. Kebakaran menyebabkan empat rumah musnah sepenuhnya,” katanya.

Mohd Sani berkata, kejadian membabitkan 27 penghuni dan tiga daripadanya cedera ringan.

Katanya, punca kebakaran dan nilai kerugian dalam siasatan.

myMetro 25 Februari 2016


0 comments:

Post a Comment