February 1, 2016

Nyaris maut kereta diseret lori

Mangsa yang tersepit di daklam kereta dikeluarkan orang awam yang datang membantu.

SABAK BERNAM – Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta Proton Saga dipandunya terperosok bawah lori dalam nahas di Kilometer 45 Jalan Teluk Intan-Klang berhampiran persimpangan Taman Seri Bedena, Sungai Besar, di sini, kira-kira jam 11 pagi kelmarin.

Berikutan kejadian itu, mangsa patah tulang hidung selain cedera pada muka, mulut dan kepala.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, ketika kejadian, mangsa, 34, dalam perjalanan dari Sungai Besar menuju ke Sabak manakala pemandu lori yang membawa muatan barang runcit dari simpang Taman Seri Bedena menghala Sungai Besar.

“Siasatan awal polis mendapati, pemandu lori itu mendakwa dia keluar dari simpang kerana melihat kereta terbabit masih jauh.

“Bagaimanapun, sebaik keluar simpang, lori terbabit menyeret kereta berkenaan hingga terperosok ke seberang jalan dan menyebabkan bahagian depan kereta remuk,” katanya.

Menurutnya, orang awam di membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

"Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut manakala pemandu lori berusia 56 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes dikendalikan Sarjan Rohani Jani di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sinar Harian 1 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment