February 2, 2016

Musibah tayar tercabut

Kemalangan babitkan lima kenderaan dekat Taman Krubong Perdana.

Melaka: Dua pemandu cedera ringan dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Krubong Perdana, berhampiran Taman Krubong Perdana, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.15 malam itu sebuah kenderaan pacuan empat roda hilang kawalan selepas tayar hadapan kanannya tercabut secara tiba-tiba sebelum berlanggar dengan empat kenderaan dari arah bertentangan.

Difahamkan, kenderaan Ford Ranger itu dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun dari arah Durian Tunggal sebelum tayarnya tercabut dan terbabas serta berlanggar dengan empat kenderaan iaitu Hyundai Sonata, Toyota Altis, Proton Exora dan Proton Iriz.

Akibat perlanggaran itu, pemandu Ford Ranger dan Proton Iriz tersepit di tempat duduk masing-masing, namun mereka berjaya dikeluarkan orang ramai yang berhenti untuk membantu.

Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Pegawai Bomba Kanan II Hairul Nizam Ridhuan berkata, tujuh anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 8.24 malam dan tiba 15 minit kemudian.

“Kami menerima maklumat pemandu Ford Ranger dan Proton Iriz berusia lingkungan 20-an tersepit di tempat duduk, namun ketika sampai kami dapati kedua-dua mangsa sudah dikeluarkan dengan bantuan orang ramai.

“Orang ramai kemudian mengalihkan mangsa ke bahu jalan. Pemeriksaan awal dilakukan kami mendapati pemandu kedua-dua kenderaan itu tidak mengalami kecederaan parah,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua pemandu terbabit kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut menggunakan ambulans Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS) bomba.

Hairul Nizam berkata, maklumat diterima daripada orang ramai mendapati empat kenderaan terbabit dikatakan cuba mengelak pacuan empat roda itu yang memasuki laluan bertentangan namun gagal.

myMetro 2 Feb 2016



0 comments:

Post a Comment