February 26, 2016

Muhammad Syahmi Afiq diuji lagi

Anida cuba berbual dengan Syahmi untuk meredakan kesakitannya.

KULIM - Keluarga kepada seorang kanak-kanak lelaki, Muhammad Syahmi Afiq Abu Bakar berusia setahun tiga bulan sekali lagi diuji apabila anaknya itu disahkan pula mengidap penyakit paru-paru berair selepas menjalani pembedahan jantung tahun lalu.

Anak bongsu daripada dua beradik itu menjalani pembedahan jantung pada Jun tahun lalu selepas mengidap penyakit berkenaan sejak dilahirkan.

Ibunya, Anida Azua Harun, 37, berkata, pembedahan jantung anaknya itu berjalan lancar.

Namun katanya, kini anaknya terpaksa pula menanggung sakit sekali lagi apabila disahkan mengidap penyakit paru-paru berair.

"Doktor ada beritahu, sakit tu boleh baik bergantung kepada kekuatan Syahmi,” katanya.

Anida berkata, kini anaknya terpaksa bergantung kepada mesin setiap hari bagi melancarkan pernafasannya dan hanya boleh menanggalkan selama dua jam sehari untuk mandi.

“Kalau tengok keadaan Syahmi memang sayu, tiub terpaksa dimasukkan ke dalam rongga mulut untuk mudahkan dia minum susu.

"Saya tahu Syahmi pun tak selesa sebab dia selalu tarik keluar tiub itu,” katanya.

Menurutnya, anaknya itu sangat suka menonton cerita Upin dan Ipin dan seolah-olah memahami setiap bait yang diucapkan.

“Kalau tengok sahaja video Upin dan Ipin mesti Syahmi diam dan kadang-kadang dia gelak sendiri.

"Terubat sikit resah bila tengok dia gembira macam tu," katanya.

Katanya, setiap hari dia akan melayan kerenah si kecil itu dan melakukan fisioterapi seperti yang diajar doktor untuk mengurangkan kahak anaknya.

“Setiap pagi, lepas Syahmi mandi, saya akan buat fisioterapi dengan mengurut belakangnya,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Anida, detik yang membimbangkan apabila anaknya mengalami batuk teruk dan perlu dibawa ke hospital.

“Kalau dia batuk teruk memang saya terpaksa bawa ke hospital di Pulau Pinang, kat sana saja ada peralatan,” katanya.

Dalam pada itu, Anida turut memohon rakyat negara ini agar mendoakan anaknya supaya cepat sembuh dan mampu membesar seperti kanak-kanak normal lain seusianya.

Sebelum ini, Sinar Harian pernah menyiarkan kisah penderitaan Syahmi yang memerlukan RM60,000 bagi menampung kos pembedahan jantung berlubang.

Sinar Harian 25 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment