February 28, 2016

Motosikal terbakar, remaja sempat selamatkan diri

Anggota bomba dan penyelamat memeriksa keadaan motosikal yang terbakar.

PARIT BUNTAR - Seorang remaja sempat menyelamatkan diri apabila motosikal miliknya terbakar secara tiba-tiba sewaktu cuba menghidupkan enjin dalam kejadian di Taman Kerian Permai, di sini petang semalam.

Mangsa, Teoh Tian Long, 18, berkata, dalam kejadian jam 2 petang, dia tinggal bersendirian di rumah manakala ahli keluarganya berniaga di kedai.

Menurutnya, dia ingin keluar berjumpa rakan-rakan dan menghidupkan motosikal jenis Yamaha Lagenda untuk ke sebuah pusat membeli-belah di sini.

"Sedang motor dihidupkan, bahagian enjin terbakar tiba-tiba terbakar sebelum merebak pantas ke bahagian depan.

"Saya yang berada atas motor segera melompat selamatkan diri sebelum panggil jiran untuk minta pertolongan," katanya, semalam.

Tian Long berkata, dalam tempoh tidak sampai 15 minit, keseluruhan motosikal milik ayahnya terbakar dan dia bimbang api kebakaran akan merebak ke bahagian rumah.

Katanya, mujur tindakan pantas orang awam dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar berjaya memadamkan kebakaran dalam tempoh 20 minit.

“Pengalaman itu tidak dapat saya lupakan kerana kebakaran motosikal itu mungkin boleh merebak ke rumah kami.

“Terima kasih kepada jiran terdekat dan anggota bomba yang bertungkus-lumus memastikan kebakaran dapat dipadamkan segera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Nor Amin Abdul Mubin berkata, pihaknya segera ke lokasi kejadian sejurus dimaklumkan kejadian itu.

“Pihak kami dengan kekuatan sembilan anggota dari BBP turut dibantu sepasukan  bomba sukarela.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian 27 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment