February 1, 2016

Merangkak ke puncak Kinabalu

HASRULLAH membuktikan beliau mampu mendaki Gunung Kinabalu.

Ranau: Berbekalkan kekuatan kedua-dua tangan, penuntut orang kurang upaya (OKU) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Selangor, Hasrullah Azrulkhan, 24, merangkak dalam usaha mendaki Gunung Kinabalu.

Hasrullah atau lebih mesra dipanggil Adam dan lumpuh sejak lahir hanya bergantung kepada kekuatan tangan untuk mendaki bermula dari Pondok Timpohon di kaki gunung hingga ke Sayat-Sayat pada ketinggian 3,700 meter dari paras laut.

Walaupun gagal menawan puncak tertinggi Asia Tenggara itu, Hasrullah tetap gembira dan menganggap ia kejayaan buat dirinya.

“Ini pendakian tertinggi yang berjaya saya capai sejak berkecimpung dalam aktiviti pendakian.

“Hanya faktor masa yang menyukarkan usaha saya untuk tiba ke puncak Gunung Kinabalu. Ia menyebabkan saya tidak mampu menepati masa yang ditetapkan selain faktor suhu yang cukup sejuk,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Hasrullah yang berasal dari Kuching, Sarawak, dia memulakan pendakian jam 6 pagi semalam dan tiba di tempat penginapan di Laban Rata, jam 8 malam.

“Pada jam 1 pagi tadi (semalam), saya mula mendaki ke puncak tetapi selepas kira-kira enam jam bergerak, saya hanya mampu sampai di Sayat-Sayat.

“Ketika itu waktu menunjukkan jam 7 pagi iaitu waktu pendaki mula turun dari puncak sedangkan saya masih di Sayat-Sayat. Walaupun gagal ke puncak namun saya tetap gembira kerana dapat merasai cabaran pendakian yang berbeza di Gunung Kinabalu,” katanya.

Menurut Hasrullah, kegagalannya untuk sampai ke puncak tidak mematahkan semangatnya menawan puncak Gunung Kinabalu malah menguatkan semangatnya mencuba lagi.

“Saya tidak akan putus asa dan akan kembali untuk mendaki Gunung Kinabalu sekali lagi,” katanya.

Hasrullah sebelum ini pernah mendaki Bukit Broga, Bukit Tabur, Bukit Gasing, Bukit Saga dan Bukit Kutu di Selangor juga dengan merangkak.

myMetro 1 Feb 2016


Kelainan upaya bukan halangan tawan Gunung Kinabalu

Memiliki kelainan upaya bukan penghalang untuk mendaki gunung. –Foto Facebook Mount Kinabalu

KOTA KINABALU - Memiliki kelainan upaya bukan penghalang bagi seseorang itu untuk mencapai impiannya.

Yang pasti, usaha tanpa kenal erti penat lelah dan tawakal berterusan mampu membuahkan hasil yang lumayan buat seseorang yang bersungguh dalam mencapai cita-citanya.

Begitu juga bagi seorang peserta pendakian Gunung Kinabalu yang memasang tekad menawan gunung tertinggi negara meskipun punya keupayaan berbeza daripada yang lain.

Memetik laman Facebook Mount Kinabalu semalam, peserta lelaki yang tidak dinamakan itu dikatakan tidak mengalah dalam usaha pendakiannya.

Difahamkan, anak muda itu yang mengalami kecacatan di bahagian kaki berazam menamatkan pendakian di puncak gunung semalam.

Usahanya itu membuahkan aspirasi tinggi kepada ‎anak muda di negara ini.

Sinar Harian 31 Januari 2016



0 comments:

Post a Comment