February 16, 2016

Mayat reput tanpa kepala terapung di parit

MAYAT reput tanpa kepala ditemui di parit di kebun sawit, kelmarin.

Mayat tanpa kepala dan reput bahagian belakang ditemui terapung di dalam parit oleh pemilik kebun sawit di Jalan Ooi Kar Seng, di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 pagi, lelaki yang mengusaha kebun sawit di situ terhidu bau busuk sebelum memeriksa kawasan sekitar kebun berkenaan.

Sumber berkata, sebaik memeriksa kawasan parit berdekatan kebunnya, dia ternampak mayat lelaki reput tanpa kepala terapung di situ.

Dia membuat laporan di balai polis berhampiran sebelum pihak berkuasa tiba di lokasi kejadian.

Menurutnya, mayat lelaki dikenali sebagai L Palani, 30, itu dipercayai beberapa hari berada di situ berdasarkan keadaan mayat.

“Identitinya diperoleh daripada kad pengenalan dijumpai pada mayatnya.

“Mayat dibawa ke Hospital Sungai Bakap bagi tujuan bedah siasat dan keluarga mendiang juga dimaklumkan berkenaan perkara itu,” katanya.

Sumber berkata, berdasarkan keterangan ahli keluarga mendiang, Palani mempunyai sejarah penyakit sawan dan beberapa hari tidak pulang ke rumah sebelum mayatnya ditemui.

Katanya, polis menunggu laporan bedah siasat bagi menentukan punca kematian serta setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

myMetro 14 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment