February 16, 2016

Mayat reput bersama dadah

ANGGOTA polis membawa mayat mangsa ke Hospital Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

Georgetown: Mayat lelaki sudah reput dan berbau ditemui bersama serbuk heroin serta peralatan memproses dadah di sebuah rumah teres di Jalan Chor Sing Kheng, Ayer Itam, di sini, kelmarin.

Penemuan mayat dalam keadaan terlentang dan bogel itu menimbulkan persoalan kerana polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung identiti mangsa yang mungkin terbabit dengan sindiket pengedaran dadah.

Hasil pemeriksaan awal, mangsa yang dikenali sebagai How Chan Yong, 53, didapati mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, mayat lelaki berkenaan ditemui jam 9 malam selepas beberapa penduduk membuat aduan kepada bomba selepas terhidu bau busuk.

Beliau berkata, anggota bomba bergegas ke rumah berkenaan dan mereka terpaksa memecahkan pintu dikunci dari dalam sebelum menemui mayat mangsa dalam sebuah bilik.

“Bagaimanapun, bomba mendapati ada bungkusan serbuk mencurigakan serta beberapa peralatan dipercayai untuk memproses dadah di rumah berkenaan sebelum memaklumkan kepada polis.

“Sepasukan anggota forensik dan narkotik bergegas ke lokasi dan hasil pemeriksaan mendapati memang terdapat serbuk heroin serta peralatan memproses dadah dalam rumah itu,” katanya.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan mayat berkenaan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat.

“Setakat ini, kes disiasat sebagai mati mengejut dan pada masa sama, polis turut membuka siasatan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Berhubung penemuan serbuk heroin serta peralatan memproses itu, polis masih menyiasat kemungkinan lelaki berkenaan terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah,” katanya.

myMetro 16 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment