February 16, 2016

Mayat lelaki jatuh kapal ditemui

ANGGOTA bomba menemui mayat Ricky 20 meter dari tempat mangsa terjatuh.

Sibu: Mayat lelaki yang lemas di Sungai Batang Igan di sini, akibat terjatuh dari sebuah kapal Rabu lalu sudah ditemui, semalam.

Ketua Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat Sungai Merah Hasman Bakar berkata, mayat Ricky Eduardo George, 22, ditemui di kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat turut dibantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis.

“Ketika operasi dan menyelamat berlangsung, keluarga mangsa yang menunggu di limbungan kapal terbabit terlihat objek yang mencurigakan di permukaan sungai.

“Selepas memaklumkan kepada pasukan penyelamat, kami mendapati objek berkenaan ialah mayat Ricky,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Hasman berkata, mayat itu dinaikkan ke jeti feri dekat Simpang Tiga di Kampung Hilir di sini sebelum dibawa ke Hospital Sibu.

“Mayat sudah diserahkan kepada keluarga selepas pengecaman dilakukan,” katanya.

Difahamkan, mendiang Ricky adalah pelajar bidang perkapalan dari sebuah Akademi Maritim tempatan dan sudah hampir dua minggu menjalani latihan industri bersama sebuah syarikat pembuatan kapal di Jalan Sungai Antu, di sini.

myMetro 13 Februari 2016


0 comments:

Post a Comment