February 13, 2016

Mayat dibungkus plastik hitam

Mayat yang ditemui di kawasan semak berhampiran Lebuhraya Persiaran Utara, Putrajaya, pagi tadi.

Putrajaya: Mayat lelaki dipercayai dibunuh ditemui dalam bungkusan plastik hitam di kawasan semak berhampiran Lebuhraya Persiaran Utara, dekat sini pagi tadi.

Mayat itu ditemui kontraktor Telekom Malaysia (TM) kira-kira 10 pagi ketika membuat pemeriksaan untuk mendapatkan laluan kabel telekom di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, ketika menjalankan tugas, lelaki terbabit terhidu bau busuk, sebelum mencari lokasi bau berkenaan.

"Dia kemudian menemui satu bungkusan plastik hitam dalam parit kecil di kawasan terbabit, selain ternampak rahang dan gigi mayat.

"Selepas memastikan bungkusan berkenaan adalah mayat manusia, pengadu terus menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya,"katanya ketika dihubungi di sini.

Rosly berkata, siasatan awal mendapati mangsa adalah lelaki dewasa dan ketika ditemui mangsa tidak berbaju dan hanya memakai seluar pendek.

"Mangsa dipercayai dibunuh, namun identiti mangsa belum dapat dikenalp asti memandangkan kulit badan dan kepala mangsa hanya tinggal tengkorak.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,"katanya.

myMetro 12 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment