February 11, 2016

Maut dihempap tong gas 920 kg

Mayat mangsa yang dibawa keluar selepas dihempap tong gas seberat 920 kg. FOTO Muhaizan Yahya

Ipoh: Lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan lori membawa muatan gas jenis 'Methyl Chloride' sebelum dihempap salah satu tong gas berkenaan dianggarkan seberat 920 kilogram(kg) di Jalan Lahat, dekat Menglembu Bestari, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa Cheah Seaw Oon@Cheah Seaw Oow,65, maut di tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Ismail Darus berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.27 petang sebelum satu jentera dan ambulans EMRS ke lokasi kejadian dan sebaik tiba mendapati mangsa tersepit di bawah tong gas berkenaan.

Katanya, anggota bomba meminta bantuan trak tunda untuk menarik tong gas berkenaan yang menghempap mangsa sebelum mangsa di keluarkan beberapa minit kemudian.

"Pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian mengesahkan mangsa maut sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Tong gas berkenaan bocor sedikit, namun ia tetap berbahaya kerana gas berkenaan mudah meletup. Langkah pencegahan awal sudah diambil termasuk pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) yang sudah bersiap sedia untuk ke lokasi sekiranya diperlukan," katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.

myMetro 10 Feb 2016





0 comments:

Post a Comment