February 28, 2016

Maut di lorong kecemasan


Seremban: Seorang penuntut Institut Latihan Perindustrian (ILP) maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 269.1 lebuhraya PLUS arah selatan, dekat Bandar Ainsdale, di sini.

Muhammad Naimullah Ahmad Zulkepli, 24, yang menunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian pada kejadian kira-kira 5 petang.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor sebelum melanggar belakang Perodua Viva yang berhenti di lorong kecemasan.

"Rempuhan itu mengakibatkan mangsa terjatuh di lorong kiri lebuh raya dan kemudian dirempuh sebuah pacuan empat roda yang tidak sempat mengelak,” katanya.

Muhamad Zaki berkata, siasatan di lokasi mendapati Perodua Viva berhenti di lorong kecemasan akibat tayar bocor tanpa meletakkan kon.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 28 Februari 2016


Penunggang motosikal maut kemalangan tiga kenderaan

SEREMBAN - Seorang pelajar Institut Latihan Perindustrian Tangkak, Johor, maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM269.1 Lebuhraya Utara Selatan sebelum simpang masuk Bandar Ainsdale, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata mangsa yang maut dalam kemalangan kira-kira 5 petang itu ialah penunggang motosikal, Muhammad Naimullah Ahmad Zulkepli, 24.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Perodua Viva yang berhenti di lorong kecemasan kerana tayar kereta pancit telah dirempuh mangsa di bahagian kanan kereta.

"Mangsa kemudian terjatuh ke lorong kiri jalan dan dilanggar sebuah trak tentera yang melalui lorong kiri jalan itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, dan mayat dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat. - Bernama

27 Februari 2016





0 comments:

Post a Comment