February 28, 2016

Maut buat pusingan U

Keadaan kereta mangsa yang dirempuh treler dekat Kampung Bukit Yong, petang kelmarin.

PASIR PUTEH - Seorang pemandu maut selepas kereta dinaiki dirempuh treler ketika membuat pusingan U di kilometer 51 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dekat Kampung Bukit Yong, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, Ramli Ahmad, 51, meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, pemandu berkenaan berasal dari Kampung Matang, Kuala Berang, Terengganu bekerja sebagai pemandu van kilang Nur Abadi Sdn Bhd di Pangkalan Chepa dan tinggal di Kota Bharu.

“Siasatan awal mendapati kereta mangsa berada di bahu jalan arah ke Kuala Terengganu membelok ke atas jalan untuk membuat pusingan U, pemandu treler cuba membrek tetapi gagal kerana jarak terlalu dekat,” katanya.

Katanya, mangsa dihantar ke Unit Forensik Perubatan Hospital Tengku Anis Pasir Puteh untuk bedah siasat.

"Siasatan diteruskan di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pemandu treler pula tidak alami kecederaan,” katanya.

Sinar Harian 27 Feb 2016

0 comments:

Post a Comment