February 28, 2016

Mati selepas bergaduh dengan jiran di Batu Gajah

IPOH - Seorang pekerja kontrak ditemui mati di hadapan rumahnya di Taman Teja, Tanjung Tualang dekat Batu Gajah di sini selepas bergaduh dengan jirannya malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata Choo Mun Keong, 43, dipercayai mati akibat terjatuh di atas jalan tar semasa pergaduhan itu.

"Suspek memarahi mangsa kerana mangsa menanam pokok betik dengan menggunakan baja najis di belakang rumah suspek sehingga mendatangkan bau busuk.

"Berikutan itu, suspek memotong pokok betik mangsa yang mencetuskan pergaduhan di antara mereka kira-kira pukul 8 malam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

Menurutnya polis menahan seorang lelaki berumur 50 tahun yang bekerja sebagai tukang kimpal untuk membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama

27 Februari 2016


Pekerja kontrak maut bergaduh dengan jiran angkara pokok betik

BATU GAJAH - Seorang pekerja kontrak ditemui mati selepas dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan dengan jirannya gara-gara pokok betik di Taman Teja, Tanjung Tualang, di sini malam tadi.

Dalam kejadian lebih kurang pukul 8.23 malam, mangsa berusia 43 tahun yang memakai kemeja-T dan berseluar jeans ditemui dalam keadaan terlentang di atas jalan.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd. Nasri Omar berkata, pergaduhan dipercayai berpunca daripada suspek yang berang selepas baja najis yang digunakan mangsa untuk menanam buah betik mengundang bau yang kurang selesa.

"Suspek berusia 50 tahun berang dengan tindakan mangsa yang menggunakan baja najis untuk menanam pokok buah betik sehingga mengeluarkan bau yang busuk.

"Pokok betik yang ditanam mangsa di belakang rumahnya telah dipotong oleh suspek sekitar pukul 11 pagi semalam sehingga tercetus pergaduhan di antara mereka lebih kurang pukul 8 malam," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat.

Susulan daripada itu, polis berjaya menahan seorang lelaki untuk membantu siasatan. - K! ONLINE

Kosmo 27 Feb 2016

0 comments:

Post a Comment