February 13, 2016

Mati ditembak lima das

Georgetown: Seorang peniaga nasi kandar dan pengusaha kedai cuci kereta maut ditembak lima das oleh dua lelaki tidak dikenali di Jalan Datuk Keramat di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu mangsa, Syed Amin Zainul Abidin, 46, yang memandu kereta seorang diri dipercayai singgah di kedai menjual motosikal dan berhenti di tepi jalan sebelum diekori dua lelaki yang menunggang motosikal.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Zakaria Ahmad berkata, berdasarkan siasatan seorang daripada suspek dikatakan turun dari motosikal lalu melepaskan tujuh das tembakan ke arah kereta mangsa dan mengenai cermin kereta bahagian hadapan pemandu.

Beliau berkata, siasatan mendapati lima das tembakan mengenai tubuh badan mangsa termasuk kepala manakala satu das tembakan tersasar.

Katanya, suspek dikatakan cuba melepaskan satu das tembakan ke arah dua anggota Rela yang bertugas menjaga kedai motor sempena cuti sambutan Tahun Baru Cina tetapi tidak mengenai mangsa.

myMetro 12 Februari 2016


Tidak takut kemungkinan ditembak

Georgetown: Ahli perniagaan Syed Amen Jainul Abidin, 46, yang maut ditembak di Jalan Datuk Keramat di sini, awal pagi tadi, pernah diugut beberapa kali kerana lantang mempertahankan hak kaum Melayu di Pulau Pinang.

Isterinya, Masita Abu Bakar, 46, berkata suaminya pernah memberitahunya mengenai perkara berkenaan dan berpesan mereka sekeluarga supaya berhati-hati.

"Arwah sering membantu rakan-rakannya yang dalam kesusahan dan biarpun ramai yang mengenalinya sebagai seorang yang cukup tegas tetapi hakikatnya hatinya mudah tersentuh jika melihat kesusahan orang lain," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang di sini, hari ini.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, Syed Amen maut ditembak dari jarak dekat di depan sebuah kedai motosikal berkuasa tinggi.

Allahyarham seolah-olah sudah dapat merasakan tragedi yang bakal menimpanya kerana menerusi satu status Facebook miliknya menggunakan nama 'Amen Beyond', beliau merujuk satu kejadian tembakan dan meramalkan perkara sama akan menimpanya.

Status itu dimuat naik pada 4 Disember tahun lalu yang melaluinya Syed Amen turut meluahkan beliau tidak takut dengan kemungkinan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata mangsa ditemui berlumuran darah dalam keretanya selepas seorang lelaki melepaskan lima das tembakan.

Masita berkata mereka berkahwin 10 tahun lalu, dan masih belum dikurniakan anak kerana beliau mengalami keguguran beberapa kali termasuk yang terbaru, minggu lalu.

“Saya sangat sedih dan memang sukar untuk menerima kenyataan ini, tapi reda dan pasrah kerana ini ketentuan Allah.

"Saya harap polis dapat menangkap orang yang menembak suami saya secepat mungkin," katanya.

Syed Amen antara aktivis yang aktif mempertahankan kampung dan gerai masyarakat Melayu yang diroboh pihak berkuasa tempatan.

Beliau pernah menerima Anugerah Ikon Bumiputera Pulau Pinang pada 2008. Pada 2014, kedai cuci kenderaan miliknya di Jalan Arraton di sini, pernah dibakar pihak yang dipercayai tidak berpuas hati dengannya kerana lantang mempertahankan nasib orang Melayu.

Sementara itu adik mangsa, Abdul Kader, 42, berkata beliau dihubungi rakannya memaklumkan abangnya ditembak namun tidak mempercayai dan meminta kawannya itu melihat mayat bagi mengesahkan ia adalah abangnya.

"Saya benar-benar terkejut selepas mendapat berita ini dan langsung tidak percaya abang akan meninggalkan kami dalam keadaan begitu.

"Emak yang ketika ini berada di India, sangat sedih dan dijangka balik ke sini, esok," katanya.

Beliau berkata Syed Amen adalah anak kedua daripada lima adik beradik dan suka menolong orang terutama rakan-rakan yang dalam kesusahan tanpa mempedulikan ugutan terhadapnya.

Jenazah Syed Amen dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Dua, Butterworth selepas solat Asar tadi.

myMetro 11 Februari 2016


Jangan buat andaian kes tembak Amin Beyond

Kesan tembakan yang menyebabkan Amin Beyond maut. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal

Georgetown: Polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan percaya dapat menahan suspek kes tembak seorang pengusaha restoran nasi kandar yang dikenali sebagai Amin Beyond dalam tempoh terdekat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, setakat ini polis menjalankan siastan dari pelbagai aspek dan meminta orang ramai tidak membuat spekulasi.

Katanya, orang ramai diminta tidak membuat sebarang andaian sendiri dalam media sosial kerana ini akan menjejaskan siastan.

"Mangsa juga tidak terbabit langsung dengan perebutan restoran nasi kandar Line Clear di Penang Road seperti didakwa sesetengah pihak.

"Biar polis jalankan siasatan terlebih dulu untuk mencari punca sebenar dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang andaian," katanya.

myMetro 12 Februari 2016 


JPJ Pulau Pinang akan bertindak

Seberang Jaya: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang akan membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengaitkan jabatan itu dengan kematian pengusaha nasi kandar yang dikenali sebagai Amin Beyond yang mati ditembak, semalam.

Pengarahnya, Nurul Habib Abdul Gudus berkata, tuduhan berkenaan terlalu berat selain tidak masuk akal dan laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat ini.

Katanya, JPJ meminta orang ramai tidak terus membuat fitnah dan mengaitkan kes berkenaan dengan jabatan berkenaan.

"JPJ akan mengumpulkan maklumat dan bukti di Facebook dan akan membuat laporan polis serta mengambil tindakan undang-undang," katanya ketika sidang media sempena Operasi Khas Tahun Baru Cina di Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE) di sini, malam tadi.

Sementara itu, sebanyak 1,194 notis dikeluarkan JPJ negeri dari 1 hingga 11 Februari lalu kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.

myMetro 12 Februari 2016


Syed Amen pernah 
bayang akan mati ditembak

Syed Amen Abdul Jainul Abdin

PULAU PINANG 11 Feb. – Pengusaha restoran nasi kandar, Syed Amen Abdul Jainul Abdin, 46, pernah membayangkan dia akan mati ditembak suatu hari nanti.

Kemungkinan itu dibayangkan Syed Amen menerusi status laman sosial Facebooknya yang menggunakan nama Amin Beyond pada 4 Disember tahun lalu.

Menerusi status yang dikemas kini pada pukul 7.49 malam itu, Syed Amen menulis dia pernah menerima ugutan akan ditembak namun menegaskan dia tidak takut dengan ugutan sedemikian.

Malah berserta status sama juga, Syed Amen turut memuat naik dua ke­ping gambar kejadian tembakan yang berlaku kepada individu lain sebelum ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi ini, Syed Amen yang mengusahakan Restoran Nasi Kandar Original Beyond di Jalan Perak di sini, maut akibat ditembak sebanyak enam das dari jarak dekat.

Ketika kejadian di Jalan Datuk Keramat itu, mangsa memberhentikan kereta jenis Mercedes yang dipandunya di hadapan sebuah kedai selepas menyedari dia diekori dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal.

Sebaik sahaja berhenti, mangsa kemudiannya ditembak sebanyak enam das dengan lima daripadanya mengenai kepala, badan dan ta­ngan manakala satu das tembakan lagi tersasar.

Pada 13 November 2014, media melaporkan salah sebuah kereta mang­sa dibakar di pusat cuci kere­tanya berdekatan Jalan Sultan Ahmad Syah di sini, selepas tengah malam.

Malah, sepucuk pistol juga pernah dilaporkan ditinggalkan di dalam kenderaannya pada 2012.

Syed Amen juga dikatakan pernah mendakwa dua kali menerima ancaman di pusat cuci keretanya daripada pengedar dadah yang dikatakan mahu menggunakan premis cuci kereta itu sebagai pusat transit.

Utusan 12 Feb 2016


Arwah pesan saya supaya lebih berdikari – Isteri

PULAU PINANG 11 Feb. – Isteri pemilik kedai nasi kandar, Syed Amen Abdul Jainul Abidin, 46, yang mati ditembak tidak menyangka pesa­nan suaminya agar lebih berdikari selepas ini merupakan petanda arwah akan meninggalkan dirinya.

Masita Abu Bakar, 46, berkata, arwah yang turut mempunyai perniagaan mencuci kenderaan di sini berpesan perkara itu berulang kali terutama selepas dia terlibat dalam beberapa kes pergaduhan.

“Saya tidak menyangka pesanan yang berulang-ulang itu benar-benar menjadi kenyataan selepas arwah maut ditembak pagi ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi tadi, Syed Amen maut selepas terkena lima das tembakan dari jarak dekat oleh dua lelaki yang menunggang motosikal di Jalan Dato Keramat di sini.

Menceritakan saat terakhir bersama arwah, Masita memberitahu, beberapa jam sebelum kejadian juga mereka sempat makan malam bersama dengan suaminya itu tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda cemas atau bimbang.

“Saya menemani suami makan nasi lemak berhampiran pusat mencuci kereta miliknya malam tadi dan saya lihat dia berselera menikmati hidangan.

“Sebab itu saya langsung tidak menyangka akan mendapat berita mengejutkan pagi ini," katanya.

Tambah Masita, walaupun masih terkejut dan sukar menerima kehilangan suaminya yang dikahwini sejak 10 tahun lalu, namun dia perlu menguatkan semangat serta pasrah dengan ujian tersebut.

Utusan 12 Feb 2016


Dua lelaki berkulit cerah diburu

PULAU PINANG 12 Feb. - Perebutan hak restoran Nasi Kandar Line Clear, masalah politik dan pertengkaran dengan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bukan punca pembunuhan Syed Amen Abdul Jainul Abidin yang mati ditembak di Jalan Datuk Keramat, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, punca sebenar pembunuhan pengusaha nasi kandar itu masih dalam siasatan polis.

Sehubungan itu, tegas beliau, pengguna media sosial diminta berhenti menyebarkan spekulasi berhubung perkara berkenaan kerana tindakan menyebarkan maklumat yang tidak sahih hanya akan mendatangkan kegusaran di kalangan orang awam.

“Berdasarkan pemantauan di laman sosial, ada pihak tertentu yang mendakwa kononnya pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terlibat kerana Syed Amen pernah bertindak memaki hamun anggota penguat kuasa itu tahun lalu malahan ada yang mendakwa pembunuhan semalam bermotifkan politik.

“Ada juga yang mendakwa mangsa terlibat dalam pere­butan hak restoran Nasi Kandar Line Clear sehingga menyebabkan beliau dibunuh dan saya ingin tegaskan di sini bahawa semua dakwaan berkenaan tidak benar,” katanya di sini hari ini.

Syed Amen, 46, yang juga pemilik Kedai Nasi Kandar Beyond dan pusat mencuci kereta maut selepas terkena lima das tembakan yang dilepaskan dari jarak dekat dalam kejadian di Jalan Datuk Keramat kira-kira pukul 3.30 pagi semalam.

Kejadian berkenaan menjadi viral di laman sosial kerana sebelum ini tersebar videonya mengamuk di pejabat JPJ yang mana kes ber­kenaan kini sedang dibicarakan di mahkamah.

Selain itu, mangsa juga turut dikenali sebagai aktivis masyarakat yang lantang mempertahankan isu kampung Melayu di negeri ini.

Mengulas mengenai perkembangan siasatan kes berkenaan, Mior Faridalatrash berkata, berdasarkan semakan ke atas kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran tempat kejadian, polis telah mengenal pasti dua lelaki berusia sekitar 20-an yang dipercayai terlibat.

Katanya, dua suspek yang berkulit cerah itu dipercayai rakyat tempatan dan polis kini sedang memburu mereka.

Utusan 13 Feb 2016


0 comments:

Post a Comment