February 1, 2016

Malaysia bakal alami cuaca sejuk

KUALA Krai menjadi lokasi paling sejuk sewaktu fenomena cuaca dingin pada tahun 2014 apabila mencatatkan suhu 17 darjah Celsius.

KUALA LUMPUR –Rakyat di Semenanjung Malaysia terutamanya di Kelantan dan Perak bakal menikmati cuaca sejuk dan nyaman seperti musim bunga di kota London apabila suhu di negara ini dijangka turun sehingga 20 darjah Celsius sepanjang bulan Februari ini.

Menurut sumber daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), fenomena itu berlaku berikutan angin sejuk di kawasan kutub utara yang terkumpul terlalu lama lalu mengakibatkan laluan luruan angin.

Luruan angin kutub utara itu ‘berpecah’ daripada sempadannya dan bertiup ke hemisfera selatan.

“Dalam beberapa hari lagi, luruan angin itu akan sampai ke utara Semenanjung Malaysia terutamanya di kawasan pedalaman sekitar Perak dan Kelantan disebabkan faktor geografi yang berlatitud tinggi.

“Namun begitu, negeri seperti Perlis, Kedah dan sebahagian kawasan tanah rendah di Perak dijangka kurang terkesan dengan angin sejuk itu ekoran dipengaruhi suhu laut Lautan Hindi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo 1 Feb 2016


Tidak akan turun ke 20 darjah Celsius


Kuala Lumpur: Jabatan Metereologi Malaysia menafikan bahawa suhu minimum di negara ini akan turun ke 20 darjah Celsius sepanjang Februari seperti yang dilaporkan dalam akhbar tempatan (bukan Harian Metro) hari ini.

Jabatan itu dalam satu kenyataan berkata, suhu bagi Malaysia yang beriklim tropika secara amnya antara 22 darjah Celsius pada sebelah pagi, manakala 35 darjah Celcius pada lewat petang.

Suhu minimum pada Januari lalu turut direkodkan lebih panas daripada biasa antara 1 hingga 2 darjah Celcius, malah suhu terendah pada bulan lalu juga lebih tinggi dari rekod suhu terendah jangka panjang bagi Januari.

Kenyataan itu turut menyebut yang peningkatan suhu ini adalah selari dengan jangkaan awal apabila kesan El Nino menyebabkan peningkatan suhu antara 0.5 hingga 2.0 darjah Celcius.

Menerusi laman web rasmi jabatan itu iaitu www.met.gov.my, orang ramai diingatkan untuk tidak mendapatkan maklumat di laman sosial Facebook (FB) lain, selain daripada laman rasmi mereka iaitu www.facebook.com/malaysiamet.

Akhbar berkenaan melaporkan bahawa penduduk di sekitar Perak dan Kelantan akan merasai cuaca sejuk dan nyaman seperti musim bunga di London.

myMetro 1 Feb 2016

1 comment: