February 19, 2016

Macam dah tahu

KEADAAN motosikal Mohd Akmal yang maut selepas terbabit kemalangan di Jalan Sultan Azlan Shah, Batu Uban.

Georgetown: Status ‘Tak Lama Lagi’ yang ditemui dalam aplikasi laman sosial WeChat milik seorang remaja, Muhammad Akmal Rozali, 18, yang maut digilis lori kren dalam kejadian di Lebuh raya Sultan Azlan Shah, di sini, semalam menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Abang sulungnya, Mohd Azril, 21, berkata, dia terkejut selepas rakan Muhammad Akmal memberitahu arwah memuat naik status berkenaan sejak 4 Januari lalu yang tidak diketahui maksud sebenar.

Menurutnya, dia pernah bertanya arwah maksud status itu, namun tidak dijawab dan arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik sejak beberapa hari lalu, lebih-lebih lagi dikenali seorang yang pendiam.

“Saya terkejut dengan kejadian menimpa arwah kerana dia baru keluar dari rumah untuk ke tempat kerja di kedai jeruk di Sungai Nibong dengan menunggang motosikal Yamaha RXZ.

“Kami sekeluarga pasrah dan reda dengan pemergian arwah walaupun masih terkejut dengan kehilangannya secara tiba-tiba,” katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, semalam.

Bapa mangsa, Rozali Mat, 50, berkata, arwah anaknya sempat menziarahi rumah neneknya di Relau, minggu lalu dan kejadian itu menyedihkan dan seolah-olah menjawab perasaan hatinya yang gundah dan serba tidak kena sejak kelmarin.

Menurutnya, jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Nibong selepas selesai dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam kejadian jam 8.45 pagi itu, mangsa maut selepas gagal mengelak sebuah lori kren yang menukar lorong secara tiba-tiba.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, lori dipandu lelaki berusia 66 tahun dari arah Bukit Jambul ke Georgetown itu dipercayai cuba menukar laluan dan gagal mengawal kenderaan hingga melanggar mangsa.

“Siasatan mendapati, mangsa terjatuh di bahagian bawah tayar lori dan diheret kira-kira tiga meter dari tempat kejadian dan pemeriksaan lanjut mendapati mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori itu tidak cedera.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian,” katanya.

myMetro 19 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment