February 23, 2016

Lori rokok seludup terbalik

Anggota polis memeriksa lori yang terbabas di tepi Jalan Muadzam Shah- Segamat, Rompin.

Kuantan: Cubaan satu sindiket menyeludup pelbagai jenis rokok yang dianggarkan bernilai RM2,000 tidak kesampaian apabila lori dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di tepi Jalan Muadzam Shah-Segamat, Rompin, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, penyeludup terbabit yang dipercayai lebih daripada seorang tidak mengalami kecederaan sebelum memboloskan diri dengan menaiki kereta dipercayai milik rakan mereka.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Asisten Komisioner Azmi Ibrahim berkata, polis yang menerima maklumat berhubung kegiatan itu membuat rondaan di sepanjang Jalan Rompin-Kuantan, Jalan Leban Condong dan Jalan Muadzam Shah-Segamat, Johor, sebelum menemui lori berwarna putih dalam keadaan mencurigakan menghala ke Segamat.

“Anggota polis mengekori kenderaan itu namun dihalang kenderaan lain dipercayai rakan kepada penyeludup terbabit.

“Polis kemudian berpatah balik ke Jalan Leban Condong untuk melakukan intipan,” katanya.

Beliau berkata, ketika di depan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Muadzam Shah, polis sekali lagi terserempak lori dinaiki penyeludup terbabit dalam keadaan terbalik di tepi jalan selepas dipercayai terbabas.

Menurutnya, anggota polis yang melakukan pemeriksaan mendapati pemandu kenderaan itu memboloskan diri sebelum menemui kotak yang dibalut dengan plastik putih mengandungi pelbagai jenama rokok.

“Polis tidak menolak kemungkinan rokok seludup bernilai hampir RM2,000 itu dibawa masuk melalui pesisir pantai Rompin untuk dipasarkan kepada peruncit di sekitar daerah Segamat.

“Polis akan membuat pemeriksaan bagi mengesan pemilik sebenar lori berkenaan, kenderaan itu bersama barangan rampasan dibawa ke Pangkalan Polis Marin di Padang Lalang, di sini, untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

myMetro 23 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment