February 19, 2016

Lima sekeluarga hilang tempat tinggal

RUMAH dua tingkat musnah terbakar. FOTO Aizat Sharif

Arau: Lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah dua tingkat yang didiami musnah dalam kebakaran di Jalan Raja berhampiran Perpustakaan Awam Arau, hari ini.

Kebakaran yang berlaku 1.55 petang itu mengakibatkan keseluruhan struktur tingkat dua rumah itu hangus dan lantainya runtuh.

Menurut Pegawai Komandan Operasi Kanan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perlis, Nor Ahmad Zaki, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.59 petang dan mengambil masa lima minit untuk tiba di tempat kejadian.

"Seramai 13 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba Arau dan Kangar termasuk anggota bomba sukarela dari Balai Bombam Sukarela Pauh, Tunjang dan Kodiang dikerah ke tempat kejadian dan bomba mengambil masa 16 minit untuk mengawal kebakaran yang sudah memusnahkan hampir keseluruhan struktur rumah berkenaan," katanya lagi.

Tambahnya lagi, api merebak dengan pantas kerana tiupan angin kencang namun tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku dalam kebakaran itu.

"Punca dan kerugian masih disiasat dan kita boleh katakan 90 peratus rumah ini sudah musnah dijilat api," katanya lagi.

myMetro 17 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment