February 23, 2016

Lemas: Lelaki warga Nepal ditemui dalam keadaan terlentang

Mayat mangsa yang dijumpai terdampar pagi tadi kira-kira enam kilometer dari lokasi mangsa dipercayai lemas di Pantai Awam Desaru. - Foto Sinar Harian

KOTA TINGGI - Selepas tiga hari dikhuatiri lemas, mayat seorang pekerja kilang warganegara Nepal berjaya dijumpai kira-kira jam 10.14 pagi tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira enam kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang ketika mandi manda bersama rakannya.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Rahmat Othman berkata, mangsa dikenali sebagai Ram Pukar dijumpai terdampar di Pantai Awam Desaru, di sini dalam keadaan terlentang.

Menurutnya, mangsa, 25, bekerja di Senai dikatakan telah datang bersama seramai 88 orang rakan sekerjanya pada jam 11 pagi Ahad lalu untuk menghabiskan masa sempena cuti umum.

Katanya, sebaik mendengar taklimat daripada penyelia kilang dan menjamu selera, sekitar jam 12 tengah hari sebahagian besar pekerja terbabit  telah turun ke pantai untuk bermandi manda termasuklah mangsa dan dua rakannya yang mandi di kawasan berasingan.

"Kira-kira jam 1 petang, ketiga-tiga mangsa telah ditarik ombak ke tengah laut. Mendengar jeritan meminta tolong, rakan - rakan yang berada di darat memberi pertolongan dengan mencampakkan tali dan berjaya menyelamatkan dua rakan mangsa manakala mangsa hilang dari pandangan dan dipercayai tenggelam.

"Pasukan SAR telah digerakkan sebaik sahaja aduan diterima dengan melibatkan tujuh anggota Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Pengerang, 10 anggota Bomba dan Penyelamat dan empat anggota Balai Polis Bandar Penawar. Keadaan laut yang bergelora dengan ombak setinggi dua hingga tiga meter menyebabkan SAR di laut tidak dapat dijalankan.

"Bagaimanapun usaha SAR di persisiran pantai sehingga waktu malam diteruskan sehingga membawa penemuan mayat mangsa pada hari ke tiga SAR," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut dan majikan mangsa juga telah dihubungi untuk urusan seterusnya. Manakala operasi SAR telah ditamatkan pada jam 11.00 pagi.

Sinar Harian 23 Februari 2016


0 comments:

Post a Comment