February 13, 2016

Lemas di Pantai Batu Burok

Lelaki yang ditemui lemas di Pantai Batu Burok, petang tadi. FOTO Imran Makhzan

Kuala Terengganu: Lelaki ditemui lemas, manakala rakan wanitanya kritikal selepas mandi di Pantai Batu Burok, di sini, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 6 petang itu berlaku apabila mangsa, Neow Hack Wan, 40, dikatakan mandi di pantai berkenaan bersama dua rakannya sebelum lemas akibat ditarik ombak besar.

Mendiang, seorang pengusaha kedai perabot dan berasal dari Johor Bahru, datang bercuti di bandar raya ini bersama anak perempuannya, Jasmine, 14, dan tiga rakannya sejak tengah hari semalam.

Pegawai Bomba Kanan II Badrul Hisham Mamat, dari Balai Bomba Kuala Terengganu berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira 6.30 petang tadi.

“Berikutan itu, sembilan anggota dan dua jentera dari Balai Bomba Kuala Terengganu ke tempat kejadian.

"Bagaimanapun, sejurus tiba, mayat mangsa ditemui orang ramai sementara rakan wanitanya diselamatkan dengan bantuan orang awam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, lewat petang tadi.

Menurutnya, seorang lagi rakan lelaki mereka berjaya menyelamatkan diri.

“Wanita terbabit dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut dan difahamkan dalam keadaan kritikal," katanya.

myMetro 12 Februari 2016


Kesal tak sempat selamat rakan

KUALA TERENGGANU – “Saya amat kesal kerana tak sempat selamatkan mangsa malah pada mulanya ingatkan dia hanya main-main sahaja,” demikian luah rakan mangsa lemas, dalam tragedi di Pantai Batuk Burok, kelmarin.

Rakan mangsa, Tay Hock Boon, 41, yang berasal dari Muar, Johor, berkata, dia tidak menyangka percutian mereka berlima selama tiga hari di negeri ini berakhir dengan tragedi yang tidak boleh dilupakan sampai bila-bila.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa, Neow Hack Wan, 41, bersama seorang lagi rakan, Lee Chai Hong, 35, sedang mandi manda dalam tempoh tidak sampai lima minit di tepi Pantai Batu Burok kira-kira jam 6 petang kelmarin.

“Dalam jam 6.05 petang, ketika itu saya berada tidak jauh dari tempat mereka mandi manda, tiba-tiba saya nampak tangan Hack Wan dan Chai Hong terkapai-kapai, saya tak sangka mereka lemas dan ingatkan mereka berdua hanya main-main sahaja.

“Tetapi, bila lihat keadaan agak serius, saya segera meluru ke lokasi mereka dan mendapati mereka telah ditarik arus deras ke tengah laut, saya segera meluru ke arah mereka dan berjaya tarik tangan Chai Hong,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam.

Hock Boon berkata, dia berasa amat kesal kerana ketika kejadian dia tidak sempat menarik tangan Hack Wan sebelum tenggelam.

“Ini kali pertama saya datang ke Terengganu bersama rakan-rakan yang lain. Saya juga berasa kesal kerana tidak diberitahu mengenai bahaya mandi-manda di kawasan itu.

“Saya juga tak sangka, keputusan mereka berdua untuk mandi di pantai ini bertukar tragedi dan menjadi cerita menyayat hati kerana pada awalnya kami hanya ingin menghabiskan masa di pantai,” katanya.

Menurutnya, mayat Hack Wan hanya ditemui hampir satu jam selepas mangsa hilang iaitu kira-kira jam 7 malam, tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Mayat mangsa ditemui sekitar 30 meter dari lokasi dia mula-mula lemas oleh orang awam. Ketika kejadian, bukan saya sahaja berusaha untuk menyelamat Hack Wan, orang ramai juga cuba membantu menyelamatkan Hack Wan namun gagal," katanya.

Sementara itu, anak mangsa, Jasmine Neow, 14, ketika ditemui di HSNZ kelihatan amat sugul, murung dan tidak dapat berkata apa-apa.

Menurutnya, dia bersama ayahnya bercuti selama tiga hari di sini sempena Tahun Baharu Cina dan bercadang pulang ke Johor, semalam.

Sinar Harian 14 Feb 2016




0 comments:

Post a Comment