February 8, 2016

Lelaki warga Singapura lemas


Lipis: Seorang lelaki warga Singapura berusia 43 tahun ditemui lemas dipercayai dihanyutkan kepala air di Sungai Kuala Luis, Merapoh, dekat sini, ketika mendaki Gunung Tahan, petang Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, pada kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa bersama tiga pelancong asing menyertai 21 warga tempatan dalam ekspedisi mendaki gunung berkenaan.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, lelaki itu dihanyutkan arus deras ketika menyeberang Sungai Kuala Luis.

"Susulan itu, pendaki lain menghubungi pihak berkuasa bagi memaklumkan kejadian.

"Kita melancarkan operasi mencari dan menyelamat disertai 14 anggota bomba dan polis serta 30 pemandu pelancong taman negara.

"Mayat mangsa ditemui lima kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang pada jam 7.30 malam," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat pada jam 11.45 malam hari sama.

"Bagaimanapun, kita terpaksa menunggu rakan mangsa turun dari kawasan gunung berkenaan untuk pengecaman.

"Polis juga sudah menghubungi pihak kedutaan untuk memaklumkan kepada keluarga mangsa untuk urusan penghantaran pulang jenazah lelaki itu," katanya.

myMetro 8 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment