February 25, 2016

Lelaki pengsan lalu meninggal ketika temani anak dapatkan bantuan persekolahan


SIASAT: Kelihatan anggota polis menjalankan siasatan di tempat kejadian.

KUCHING: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia semasa menemani anaknya mendapatkan bantuan persekolahan di sebuah sekolah di Sejijak, Matang dekat sini sekitar jam 7 pagi semalam.

Menurut sumber, mangsa iaitu Nicholas Peter Datu, 44, tiba-tiba pengsan sebaik tiba di tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan dipercayai akibat serangan sakit jantung.

Kakitangan sekolah yang dimaklumkan mengenai insiden tersebut segera memberi bantuan kecemasan sementara menunggu ketibaan anggota paramedik.

“Mangsa yang berasal dari Taman Malihah, Matang semasa kejadian dikatakan menemani anaknya mengambil bantuan persekolahan sebelum tiba-tiba pengsan di tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan.

“Anggota paramedik yang tiba di tempat kejadian bagaimanapun mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” kata sumber.

Anggota polis dari balai polis berhampiran juga hadir di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebelum mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Utusan Borneo 25 Feb 2016

0 comments:

Post a Comment