February 9, 2016

Lelaki Myanmar dikhuatiri lemas ketika menjala ikan

SEBERANG PERAI - Seorang lelaki warga Myanmar dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tali air di Kampung Bagan Buaya Changkat, Sungai Bakap di sini sebentar tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu mangsa, Aung Hee Lai, 20-an, sehingga kini masih gagal ditemui.

Hee Lai bersama tiga lagi rakan senegaranya dikatakan mula menjala ikan di kawasan berkenaan sejak pukul 3 petang tadi.

Jurucakap bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.37 malam dan tiba di lokasi kejadian pada 7.50 malam.

"Setakat ini, pasukan kami hanya menemui seluar pendek milik mangsa di tempat kejadian dan operasi mencari sedang giat dilakukan di sekitar kawasan tali air berkenaan menggunakan ‘grappling iron’," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini sebentar tadi. K! ONLINE

9 Feb 2016


Mayat lelaki lemas ketika menjala ikan ditemui

NIBONG TEBAL - Mayat seorang lelaki warga Myanmar yang terjatuh ke dalam tali air ketika sedang menjala ikan bersama tiga rakan senegaranya di Kampung Bagan Buaya Changkat, Sungai Bakap di sini ditemui malam tadi.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Mohd Saufi Zakaria berkata mayat Aung Hee Lai, 35, ditemui pada pukul 10.48 malam tidak jauh dari lokasi mangsa terjatuh.

"Pihak bomba yang melancarkan operasi mencari dan menyelamat sejak pukul 8 malam selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu berjaya menemui mayat mangsa tidak jauh dari tempat dia terjatuh ketika sedang menjala ikan," katanya di sini hari ini.

Katanya mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat.

Dalam kejadian itu, rakan mangsa memaklumkan Aung terjatuh ke dalam tali air di situ ketika menjala ikan pada 3 petang semalam dan mereka hanya memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa selepas empat jam kemudian.

Mereka pada mulanya cuba mencari mangsa di tali air itu, namun gagal dan mengambil keputusan untuk meminta bantuan orang ramai di kawasan berkenaan sebelum menghubungi pihak polis serta bomba. - Bernama

10 Feb 2016

0 comments:

Post a Comment