February 25, 2016

Lelaki lumpuh mohon ihsan


MOHD Rashid lumpuh seluruh anggota badan selepas terjatuh dari pokok kelapa.

Kuala Terengganu: Seorang lelaki kini lumpuh memerlukan RM12,000 untuk menjalani pembedahan selepas tulang di lehernya patah akibat terjatuh dari pokok kelapa dalam kejadian pada 9 Februari lalu.

Mohd Rashid Said, 39, dari di Kampung Kubur Timah, Batu Rakit, kini terlantar di Wad Pembedahan Lelaki di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana masih memerlukan rawatan lanjut berikutan kecederaan dialaminya itu.

Menurutnya, dia tidak sangka kejadian itu boleh mengubah masa depan dirinya kerana sebelum ini adalah seorang yang normal.

“Kejadian itu berlaku jam 5 petang ketika saya memanjat sebatang pokok kelapa berhampiran rumah untuk memetik buah kelapa.

“Bagaimanapun, saya berasa terlalu penat ketika berada di atas pokok dan menyebabkan pegangan saya terlepas sebelum terjatuh,” katanya yang juga seorang nelayan.

Menurutnya, dia memanjat pokok mangga sebelum memanjat pokok kelapa setinggi enam meter itu untuk memetik kelapa muda.

Katanya, dia berasa seluruh badannya tidak berdaya untuk bertahan ketika hampir sampai ke pelepah pokok terbabit.

“Kedua-dua tangan yang memeluk batang pokok kelapa perlahan-lahan menjadi longgar dan ketika itulah saya terjatuh dan kepala tersembam di atas tanah.

“Sebaik terjatuh seluruh badan saya terasa kebas dan tidak mampu bergerak. Rakan yang melihat kejadian itu segera meminta bantuan jiran untuk mengejarkan saya ke Klinik Kesihatan Wakaf Tengah sebelum dirujuk ke HSNZ,” katanya.

Menurutnya, dia kemudiannya disahkan lumpuh seluruh badan kerana saraf pada tulang belakang terjejas teruk dan perlu menjalani pembedahan.

Katanya, sekiranya pembedahan yang bakal dijalani itu berjaya tetapi ia masih belum dapat memberi kehidupan seperti sebelumnya kerana pergerakannya tetap akan terbatas.

myMetro 24 Februari 2016




0 comments:

Post a Comment