February 8, 2016

Lelaki Kemboja dua hari enggan turun dari pokok cengal

LELAKI Kemboja yang dikenali sebagai Zul sudah berada hampir dua hari di atas pokok cengal di Kampung Sungai Pinang, Kuala Terengganu selepas dipercayai enggan turun kerana dipercayai terlibat dengan kejadian kecurian.

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki warga Kemboja menggemparkan penduduk Kampung Sungai Pinang dekat sini selepas enggan turun dari atas pokok cengal setinggi 45 meter selepas dua hari.

Difahamkan, warga asing yang hanya dikenali sebagai Zul itu mula memanjat pokok tersebut sejak pukul 11 malam Khamis lalu kerana bimbang ditangkap penduduk kampung selepas dipercayai terlibat dengan kejadian kecurian ayam.

Zul yang berusia sekitar 30-an masih berada di atas pokok tersebut sehingga petang semalam.

Pelbagai usaha dilakukan polis serta anggota bomba dan penyelamat sejak kelmarin untuk memujuknya turun ke tanah, namun dia tetap berdegil.

Lelaki itu sudah berkeluarga dan memiliki dua cahaya mata yang kini berada di Kemboja.

Kosmo 7 Feb 2016


Lelaki Kemboja ‘tersangkut’ atas pokok positif dadah

KUALA TERENGGANU 7 Feb. – Polis mengesahkan lelaki Kemboja yang bertindak memanjat dan berada di atas pokok cengal setinggi kira-kira 45 meter selama dua hari bermula Khamis lalu di Kampung Sungai Pinang, dekat sini didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Lelaki Kemboja yang tersangkut atas pokok cengal sebagaimana disebar melalui media sosial, dibawa ke IPD Kuala Terengganu selepas berjaya dipujuk turun dari pokok tersebut oleh seorang rakannya di Kuala Terengganu, kelmarin.

Selain itu, hasil siasatan mendapati lelaki yang sudah berkeluarga dan mempunyai dua anak itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Idris Abd. Rafar berkata, berikutan itu, lelaki terbabit kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya dan Akta Imigresen.

Menurutnya, sejurus lelaki itu turun dengan sendiri dari pokok tersebut pukul 8.30 malam tadi, dia terus ditahan polis sebelum dibawa ke lokap untuk tindakan selanjutnya.

“Lelaki Kemboja yang dikenali sebagai Zul masih ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen dan juga Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Idris turut menolak dakwaan kononnya tindakan lelaki terbabit memanjat pokok cengal sejak Khamis lalu bertujuan membunuh diri sebaliknya suspek pada waktu itu berada di bawah pengaruh dadah.

Sejak Khamis lalu, orang ramai khususnya penduduk Kampung Sungai Pinang dekat sini digemparkan dengan tindakan nekad seorang lelaki warga Kemboja yang dipercayai cuba membunuh diri dengan terjun dari atas pokok cengal setinggi kira-kira 45 meter.

Lelaki itu bertindak memanjat dan berada di atas pokok itu bermula pukul 11 malam, Khamis dan sehingga lewat petang semalam, dia masih tidak mahu turun meskipun pelbagai cara digunakan pasukan keselamatan terutama anggota bomba dan penyelamat serta polis untuk menyelamatkannya.

Tinjauan setakat pukul 4 petang semalam mendapati lelaki terbabit masih tidak menghiraukan pujukan anggota keselamatan sebaliknya berlegar-legar sambil bergayut dari pokok ke pokok dan sehinggalah pukul 8.30 malam tadi, dia akhirnya turun sendiri.

Utusan 8 Feb 2016

0 comments:

Post a Comment