February 10, 2016

Leher terkulai depan pintu

Kesan darah di pintu masuk rumah kongsi. - Foto SHAHRUL HAFIZ ZAM

Alor Setar: Seorang pekerja syarikat barang lusuh warga Myanmar ditemui mati dengan kesan kelar di leher terbaring di pintu masuk rumah kongsi premis itu di Kilometer 4, Jalan Putra, Alor Setar di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, Lai Kot A Ali, 28, ditemui majikannya berusia 53 tahun yang datang ke premis itu selepas semalaman gagal menghubunginya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian daripada majikan mangsa sebelum ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba polis mendapati mangsa terbaring dengan leher terkulai di pintu masuk rumah kongsi.

juga menemui parang panjang di atas paha mangsa yang dipercayai sudah meninggal dunia sejak 12 jam sebelum itu.

“Mayat dihantar ke bilik forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat serta untuk mengetahui sama ada kelar itu perbuatan sendiri atau dilakukan orang lain,” katanya.

Mohd Nashir berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) namun jika ada unsur jenayah selepas bedah siasat, kes akan disasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

myMetro 9 Februari 2016


Warga Myanmar ditemui maut dengan kesan kelar

ALOR SETAR - Seorang rakyat Myanmar ditemukan mati dengan kesan kelaran di leher di sebuah premis membeli barang-barang lusuh di Jalan Putra-Alor Janggus di sini, petang ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, mayat mangsa yang dikenali sebagai Lai Kot A. Ali, 28, itu ditemukan majikannya dalam keadaan terbaring dengan tengkuk terkulai di premis itu pada 2.45 petang.

"Majikannya datang mencari lelaki itu selepas gagal menghubungi pekerjanya itu sejak semalam berikutan premis itu ditutup sempena Tahun Baharu Cina.

"Ketika datang, majikannya mendapati mangsa dalam keadaan terbaring dan tengkuknya terkulai di luar rumah kongsi yang terletak di dalam premis tersebut," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Mohd Nashir berkata, mangsa yang bekerja selama empat tahun di premis itu tinggal berseorangan kerana seorang lagi rakannya telah pulang ke negara asal.

"Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 24 jam dan mayatnya dihantar ke hospital untuk bedah siasat," katanya.

Mohd Nashir berkata, sebilah parang yang dipercayai ada kaitan dengan kejadian itu turut ditemukan di atas paha mangsa.

Katanya polis membuka kertas siasatan dan belum mengklasifikasikan lagi kes berkenaan sehingga proses bedah siasat dilakukan.

"Kami akan menyiasat sama ada berlaku kes jenayah atau mangsa membunuh diri," katanya.

Sementara itu seorang saksi yang enggan dikenali dan tinggal berdekatan premis itu berkata kali terakhir beliau bertemu mangsa pada sembahyang Jumaat lepas dan mangsa ada beritahunya, dia takut untuk tinggal seorang selepas rakannya pulang ke Myanmar.

"Dia pun dah lama kerja di tempat itu dan bila ditanya kenapa takut, dia tidak pula beritahu lebih lanjut," katanya. - Bernama

9 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment