February 28, 2016

Lauk terbang

Keadaan kereta Toyota Vios yang hilang kawalan dan merempuh kedai makan di Bukit Setongkol.

Kuantan: “Saya terkejut melihat sebuah kereta secara tiba-tiba merempuh kedai makan saya.

“Habis terpelanting pinggan berisi lauk asam pedas yang mahu dihantar ke meja pelanggan,” kata peniaga, Norlaili Ramli, 40, yang kedai makan miliknya dilanggar Toyota Vios di Jalan Bukit Setongkol, di sini, semalam.

Pada kejadian jam 10 pagi itu, empat orang iaitu tiga pelanggan dan penumpang hadapan kereta itu parah dan dikejarkan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk rawatan lanjut.

Norlaili turut cedera kedua-dua tangan serta kaki selepas terkena lauk panas berkenaan.

Menceritakan kejadian itu, Norlaili berkata, dia berada di dapur untuk menyiapkan menu tengah hari apabila terdengar bunyi tayar kereta dipercayai dari arah Bukit Setongkol menghala ke bandar ini.

Katanya, ketika itu, ada tiga pelanggan di kedainya termasuk seorang lelaki warga emas.

“Kereta itu meluncur laju sebelum melanggar dinding kedai dan merempuh tiga pelanggan yang tidak sempat menyelamatkan diri.

“Selepas kenderaan itu terhenti, pemandu kenderaan itu selamba keluar tanpa menunjukkan rasa bersalah.

“Manakala, penumpang iaitu seorang wanita keluar dan muntah darah sebelum pengsan.

“Oleh kerana terlampau geram akan reaksinya, saya memarahi lelaki itu sekuat hati kerana perbuatannya menjejaskan periuk nasi saya,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, orang awam yang menyaksikan kejadian segera menghubungi pihak berkuasa untuk memaklumkan kejadian itu.

Dia mendakwa, pemandu Toyota Vios itu melarikan diri dari situ tidak lama kemudian dan meninggalkan penumpang kereta berkenaan.

“Empat orang yang parah itu dihantar ke HTAA dengan ambulans. Saya kemudian mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta dan membuat laporan di Balai Polis Kuantan jam 11 pagi (tadi) semalam,” katanya.

Kejadian itu menjadi viral di laman sosial apabila rakaman video pemandu terbabit cuba berdolak-dalih dan memberikan pelbagai alasan untuk menutup kesalahannya.

Dia dipercayai melarikan diri bimbang akan dibelasah orang awam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh ketika dihubungi di sini, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Kita masih membuat siasatan lanjut berhubung kejadian ini,” katanya.

myMetro 27 Februari 2016 


Empat parah, kereta langgar kedai makan

Pemilik kedai makan, Nor Laili Ramli 40, mengemas kedainya selepas dirempuh sebuah kenderaan yang hilang kawalan di Bukit Setongkol. FOTO Syafiq Zain

Kuantan: Empat parah apabila kereta terbabas dan melanggar kedai makan di Jalan Bukit Setongkol, di sini, 10 pagi tadi.

Mangsa yang parah adalah seorang wanita yang juga penumpang hadapan kereta itu dan tiga pelanggan yang berada di dalam kedai berkenaan.

Pemilik kedai, Norlaili Ramli, 40, berkata, ketika kejadian, kereta yang dipercayai dalam perjalanan dari Bukit Setongkol menghala ke bandar ini terbabas dan merempuh kedainya.

"Tiga pelanggan dan penumpang Toyota Vios yang parah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk dirawat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

myMetro 26 Februari 2016




0 comments:

Post a Comment