February 8, 2016

Khabar duka buat Rusilawati

Rusilawati terlantar di katil di rumahnya di Kampung Bukit Kenak, Jertih.

Jertih: Penghidap penyakit untut, Rusilawati Awang, 36, dari Kampung Bukit Kenak dekat sini, yang berharap penyakitnya itu sembuh, dimaklumkan khabar duka apabila pemeriksaan perubatan dijalankan mendapati ia tidak dapat diubati.

Khamis lalu, Rusilawati dibawa ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan pakar.

Bagaimanapun, Rusilawati dibenarkan pulang ke rumah selepas 15 jam diperiksa pakar perubatan di HUSM. Pakar berkenaan memaklumkan tiada rawatan untuk penyakit sedemikian.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Kenak Mohd Sapian Abdul Rashid berkata, pihaknya mengurus penghantaran Rusilawati dengan menggunakan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) ke Hospital Besut.

“Rusilawati kemudian dirujuk ke HUSM dengan harapan penyakit yang dihidapinya dapat diubati.

“Bagaimanapun, pihak HUSM membenarkannya pulang selepas pemeriksaan mendapati ia tidak dapat dirawat,” katanya, semalam.

Menurut Mohd Sapian, pihak yang mahu membantu Rusilawati boleh menghubunginya di talian 019-9885379.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Rusilawati bukan saya menderita penyakit terbabit malah menanggung hutang pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang tidak mampu dibayar akibat terlantar sejak empat tahun lalu.

Rusilawati membuat pinjaman RM9,000 daripada AIM untuk dijadikan modal berniaga kecil-kecilan di kampungnya. Bagaimanapun, sejak diserang penyakit untut pada 2002, dia tidak mampu meneruskan perniagaan malah sebahagian pinjaman berkenaan dibelanjakan untuk menampung kos rawatan penyakitnya.

Suaminya, Mohd Nor Awang, 55, yang bekerja sebagai pemandu lori juga uzur dan tidak berupaya bekerja kuat.

myMetro 7 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment