February 13, 2016

Kesan tusukan di kepala

MAYAT lelaki yang ditemui terapung dibaluti dengan jaring sangkar ikan di Perairan Kuala Selinsing, Rabu lalu. FOTO Shaiful Shahril Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Bedah siasat mayat lelaki ditemui terapung di perairan Kuala Selinsing dalam keadaan dibalut dengan jaring ikan serta diikat dengan guni baja di sini, Rabu lalu menemui kesan tusukan benda tajam di kepala mangsa.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Perubatan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Dr Siti Zanariah Md Naziri, menemui kesan tusukan di kepala lelaki berkenaan.

"Bedah siasat dilakukan 9.30 pagi semalam dan menemui kesan tusukan itu serta mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat dibunuh.

"Setakat ini identiti mangsa yang berketinggian 155 sentimeter dan mempunyai berat anggaran 65 kilogram itu masih belum diperoleh," katanya ketika dihubungi hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, sehingga hari ini masih tiada saksi atau waris tampil membuat laporan kes terbabit.

"Justeru pihak polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat kes terbabit agar tampil berkerjasama dengan pihak polis.

"Dalam masa yang sama pihak polis masih menjalankan siasatan menyeluruh kes terbabit bagi mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan ," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, mayat lelaki tanpa identiti yang dipercayai dibunuh ditemui di perairan Kuala Selinsing.

Dalam kejadian 3 petang itu, mayat berkenaan ditemui dibaluti dengan jaring ikan dan diikat dengan dia guni baja dipercayai sebagai pemberat untuk menenggelamkan mayat.

myMetro 12 Februari 2016


Kejam sungguh!

Bagan Serai: Mayat lelaki tanpa identiti dipercayai dibunuh ditemui di perairan Kuala Selinsing, di sini.

Mayat itu ditemui dibaluti dengan jaring ikan dan diikat dengan guni baja dipercayai sebagai pemberat untuk menenggelamkannya.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan, Omar Bakhtiar Yaacob, berkata sebelum ditemui mayat berkenaan dikesan terapung oleh seorang nelayan di perairan terbabit pada 11.30 pagi Selasa.

“Dia kemudian memberitahu polis. Sepasukan polis kemudian ke lokasi yang penemuan itu, namun tidak menjumpai mayat berkenaan berikutan air pasang.

"Operasi mencari dan mengesan mayat itu diteruskan semalam dengan bantuan lima anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Kurau menggunakan dua bot serta dibantu nelayan yang menemui mayat terbabit sebagai pemandu arah.

"Mayat itu kemudia ditemui terapung dalam keadaan tidak berbaju dan hanya memakai kain pelekat warna hijau," katanya, hari ini.

Menurutnya, tiada sebarang pengenalan diri ditemui dan berdasarkan keadaan mayat lelaki terbabit dipercayai sudah mati dalam seminggu.

"Polis meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat kejadian terbabit serta kehilangan ahli keluarga, diminta tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi bilik gerakan IPD Kerian 05-721 5222 atau balai polis berhampiran," katanya.

myMetro 12 Februari 2016


0 comments:

Post a Comment