February 3, 2016

Kereta terjunam bawah jambatan

Kenderaan dipandu mangsa rosak teruk selepas terjatuh ke bawah jambatan Sungai Durian, tengah malam kelmarin.

KUALA KRAI - Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta dipandunya terjunam ke bawah jambatan di Sungai Durian, malam kelmarin.

Penduduk yang tinggal berhampiran lokasi kejadian mendakwa terdengar bunyi kuat diikuti beberapa bunyi lain, namun keadaan yang gelap menyebabkan mereka tidak tahu apa yang terjadi.

Mereka kemudian keluar dari rumah masing-masing untuk mencari arah datangnya bunyi tersebut.

Penduduk mahu dikenali sebagai Kak Pah, 50-an, berkata, dia bergegas keluar sebaik terdengar bunyi kuat, namun tidak menemui apa-apa yang boleh dikaitkan dengan bunyi tersebut.

“Kakak kemudian masuk ke rumah dan buka pintu belakang. Dari situ kakak nampak sebuah kereta di bawah jambatan dan terus maklumkan kepada jiran,” katanya yang tinggal di tepi sungai tidak jauh dari tempat kejadian.

Menurut Kak Pah, beberapa penduduk kemudian turun ke bawah jambatan untuk membantu mangsa.

Bagaimanapun katanya, dia hanya melihat penduduk mengangkat mangsa dari jauh.

“Difahamkan, keluar darah dari mulut mangsa. Dia kemudian dihantar ke hospital dengan ambulans,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Mohamad Hanif Che Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kira-kira jam 12.19 tengah malam kelmarin.

Menurutnya, Pegawai Bomba Kanan II, Che Razak Harun mengetuai 10 anggota ke tempat kejadian dan mendapati mangsa telah dikeluarkan orang ramai daripada kenderaan.

“Kita membuat pemeriksaan di sekeliling untuk memastikan keadaan benar-benar selamat. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut,” katanya.

Kata Mohamad Hanif, kereta Perodua Kancil dipandu lelaki berusia 28 tahun itu dipercayai dari arah Kuala Kuala Krai ke Kota Bharu.

Bagaimanapun katanya, ketika tiba di jambatan Sungai Durian, kenderaan itu hilang kawalan menyebabkan ia jatuh ke bawah jambatan.

"Akibat kejadian ini, bahagian hadapan kereta Kancil tersebut rosak teruk," katanya.

Sinar Harian 2 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment