February 16, 2016

Kereta terjah kedai batu nisan

KERETA yang merempuh kedai membuat batu nisan di Batu 2, Jalan Segamat-Muar.

Segamat: “Saya tidak dengar apa-apa dan hanya menyedari kejadian apabila nampak debu berterbangan,” kata Rosdi Jamil, 21, seorang pekerja kedai membuat batu nisan dan kepok yang dirempuh sebuah kereta di Batu 2, Jalan Segamat-Muar, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.20 malam itu, Rosdi yang baring di sofa di luar premis sambil mendengar bacaan al-Quran tidak menyedari dia hampir digilis sebuah Proton Satria Neo yang terbabas dan merempuh bahagian depan kedai berkenaan.

“Sementara menunggu masuk solat Maghrib, saya baring di sofa dan langsung tidak menyedari kereta itu terbabas kerana menggunakan walkman mendengar ayat suci al-Quran.

“Tiba-tiba keadaan diselubungi debu menyebabkan saya bingkas bangun dan terkejut melihat sebuah kereta merempuh bahagian kedai. Paling mengejutkan kereta itu berhenti tidak sampai dua meter dari sofa tempat saya baring,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

myMetro 16 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment