February 29, 2016

Kereta pensyarah musnah dibakar pencuri

Pegawai Bomba dan Penyelamat sedang memeriksa kenderaan yang dibakar.

SERI ISKANDAR - Seorang pensyarah hanya mampu berputih mata apabila keretanya dipercayai dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab apabila gagal untuk mencurinya di Bandar Universiti dalam kejadian pagi tadi.

Mangsa, Ahmad Haqqi abdul Razak, 36, berkata, kejadian itu disedari isterinya yang terhidu bau asap dari luar rumah kira-kira jam 5.50 pagi tadi.

Menurutnya, apabila keluar dia mendapati kereta Toyota Wish miliknya sedang terbakar dan segera memadam kebakaran itu.

"Ketika itu saya sangkakan kereta terbakar disebabkan ada masalah teknikal kereta tetapi apabila saya mahu masuk semula ke rumah saya dapati tombol pintu gril telah pecah.

"Selepas itu barulah kami sekeluarga sedar ada beberapa barangan rumah hilang termasuklah televisyen,gugusan kunci rumah,kunci kereta, mesin gerudi dan basikal,"katanya.

Katanya, kereta itu kemungkinan dibakar kerana pencuri berkenaan tidak dapat mengeluarkan keretanya.

"Di sebelah kereta saya ada kereta ayah (Honda CR-V) dan dia menyimpan kunci bersamanya ketika tidur manakala saya hanya letak di tingkat bawah rumah.

"Kemungkinan mereka (penjenayah) tidak dapat membawa keluar kereta itu disebabkan sebuah lagi kereta menghalangnya, mereka bertindak membakar kereta saya.

"Jika tidak mungkin kami kehilangan kedua-dua kereta dalam kejadian ini,"katanya.

Difahamkan pada pagi tadi juga dua kereta dilaporkan hilang di kawasan Bandar Universiti.

Sinar Harian 29 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment