February 13, 2016

Keluar kutip kerang rumah terbakar

Foziah mencari barang yang masih boleh diguna dalam sisa runtuhan rumahnya yang musnah terbakar. - Foto IKHWAN MUHAMMAD

Rompin: Seorang ibu tunggal tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang menjadi tempat berteduh bersama lima anaknya, musnah terbakar di Kampung Garong, Tanjung Gemuk di sini, semalam.

Ketika kejadian 6 petang itu, Bashah @ Foziah Yahya, 41, bersama anak-anak dan abangnya, Abd Rahim Mat Isa, keluar mencari kerang di Pantai Mempisang kira-kira tujuh kilometer dari rumahnya.

"Dalam perjalanan balik, saya terserempak dengan jentera bomba dan memberi laluan kepadanya.

“Apabila sampai di rumah, terkejut kerana rupa-rupanya rumah saya yang terbakar," katanya di sini, hari ini.

Berikutan kejadian itu beliau dan lima anaknya yang berumur antara dua tahun hingga 19 tahun, tinggal sehelai sepinggang.

Foziah yang kematian suami dua tahun lalu akibat kemalangan jalan raya terpaksa menumpang di rumah abangnya.

Abd Rahim berkata, dia bersyukur kerana semua anak saudara dan adiknya selamat.

“Tak sangka kegembiraan kami mendapat kerang sehingga dua guni sebelum kejadian berakhir dengan tragedi ini,” katanya yang mengharapkan ada pihak berkenaan memberi bantuan kepada adiknya yang terpaksa menanggung empat anak masih bersekolah itu.

myMetro 12 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment