February 8, 2016

Kelindan lori maut tersepit


Keadaan lori lima tan rosak teruk di bahagian hadapan selepas merempuh belakang treler. Foto : Bomba Selangor

SHAH ALAM – Seorang kelindan warga Bangladesh maut selepas lori yang dinaikinya merempuh belakang treler dalam kejadian di Jalan Lama Bukit Jelutong, menghala ke Shah Alam dekat sini, kelmarin.

Bomba yang menerima panggilan pada jam 11.57 malam, mendapati mangsa dikenali Mohammad Sofikul, 40, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu dan seorang lagi kelindan masing-masing mengalami kecederaan parah dan ringan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik, Ahmad Khir Zainal Abidin berkata, bomba yang tiba di lokasi mendapati kejadian melibatkan sebuah lori lima tan yang merempuh belakang sebuah treler yang rosak berhenti di bahu jalan.

“Lori lima tan berkenaan dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum merempuh treler tersebut,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori dan seorang kelindan berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba tiba.

"Bomba mengambil masa hampir 10 minit untuk membawa keluar Mohammad yang tersepit," katanya.

Mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan Hospital Sungai Buloh.

Sinar Harian 6 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment