February 25, 2016

Kelentong paling cun

KERETA mewah BMW X6 yang dilarikan dua lelaki mengaku sebagai wakil seorang Datuk tengah hari kelmarin.

Kuala Lumpur: Dua lelaki dipercayai menyamar sebagai wakil seorang Datuk untuk melarikan sebuah kenderaan mewah model BMW X6 bernilai lebih RM300,000.

Penjenayah itu dikesan memperdaya seorang ejen wanita dalam urusan pembelian kenderaan itu di Setapak di sini, tengah hari kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, mangsa berusia 29 tahun dikatakan menerima panggilan daripada seorang Datuk yang mendakwa berminat membeli kenderaan mewah itu.

Sumber polis berkata, mangsa kemudian mengatur temujanji dengan Datuk itu di sebuah stesen minyak di Sri Rampai, Setapak di sini.

“Bagaimanapun dua lelaki menaiki motosikal muncul dan mendakwa wakil kepada Datuk berkenaan.

“Selepas selesai perbincangan, rakan setugas wanita itu memandu BMW X6 berkenaan ke lokasi berhampiran untuk tujuan uji pandu dan pemeriksaan,” katanya.

Menurutnya, wanita terbabit yang memandu kereta mewah model Porche mengekori rakannya itu.

“Sebaik tiba di hadapan sebuah kedai di Setapak di sini, salah seorang suspek lelaki terbabit berpura-pura melakukan pandu uji terhadap BMW X6 itu sambil ditemani mangsa.

“Selepas membuat satu pusingan, suspek lelaki itu mengarahkan wanita keluar dari kenderaan sebelum rakannya mengambil alih tempat duduk,” katanya.

Dia berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa berbincang semula dengan Datuk itu sebelum beredar pergi tanpa membuat sebarang pembayaran.

Sumber berkata, ejen wanita itu kemudian cuba menghubungi nombor telefon bimbit Datuk terbabit, namun gagal.

“Susulan itu mangsa yang mengesyaki ditipu tampil membuat satu laporan di buat di Balai Polis Wangsa Maju di sini. Polis kini sedang berusaha menjejaki kenderaan mewah itu yang dipercayai masih berada di Lembah Klang,”katanya.

myMetro 24 Februari 2016


'Memang sah kereta saya'

KERETA curi yang ditemui pemilik selepas kejadian curi setahun lalu.

Kuala Lumpur: “Ini kereta sah milik saya yang pernah hilang Mac tahun lalu di Ampang. Selepas hampir setahun, saya dapati ada individu mengiklankannya di laman web jual beli kereta sambung bayar,” kata usahawan Khairul Nizam Mohammad, 38.

Menurutnya, susulan itu dia mengarahkan beberapa rakan untuk mengambil semula kereta berkenaan sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Ampang jam 1.27 pagi kelmarin berhubung penemuan itu.

“Saya difahamkan, kereta saya dicuri oleh satu sindiket sebelum dijual kepada individu tertentu. Saya ada bukti geran kereta ini milik saya yang sah dibeli pada 2011 yang ketika itu catnya berwarna putih.

“Saya mengetahui kereta itu dijual oleh ejen di Internet dengan perlu membuat bayaran deposit sebanyak RM95,000. Saya kemudian menghubungi wakil ejen itu untuk mengadakan pertemuan sebelum meminta dua rakan menjadi wakil untuk mengambil kenderaan itu dan diserahkan kepada saya dengan selamat,” katanya, semalam.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan dua lelaki melarikan sebuah kenderaan mewah model BMW X6 berwarna merah jambu ketika mengadakan temujanji di Sri Rampai, Setapak jam 12.45 tengah hari, Selasa lalu.

Sumber dilaporkan berkata, dua lelaki menaiki motosikal muncul dan mendakwa mereka hadir sebagai wakil kepada seorang individu bergelar Datuk.

Katanya, sebaik tiba di hadapan sebuah kedai di Setapak, seorang lelaki itu melakukan pandu uji terhadap BMW X6 itu sambil ditemani seorang ejen wanita.

Menurutnya, selepas membuat satu pusingan, lelaki itu mengarahkan wanita keluar dari kenderaan sebelum rakannya mengambil alih tempat duduk.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan semula kenderaan lelaki berkenaan.

“Lelaki berkenaan menunjukkan semua bukti termasuk geran kereta mewah BMW X6 itu adalah miliknya yang sah yang pernah dilaporkan hilang sebelum ini,” katanya.

myMetro 26 Februari 2016





0 comments:

Post a Comment