February 19, 2016

Kehilangan 4 sahabat berakhir pilu


Kereta dinaiki empat sahabat yang ditemui selepas tujuh hari dilaporkan hilang.

Berakhir pilu.... 

Mersing: Selepas tujuh hari dilaporkan hilang, empat sahabat ditemui meninggal dunia di dalam kereta yang terjunam ke dalam sungai berhampiran ladang kelapa sawit di Felda Tenggaroh di Kilometer 42, Jalan Kota Tinggi-Mersing di sini, pagi tadi.

Kereta Honda Accord itu ditemui beberapa pekerja ladang berkenaan pada 9.20 pagi sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superitendan M Kumar ketika ditemui di lokasi kejadian, berkata terdapat empat mangsa dalam kereta dan mayat dibawa ke Hospital Mersing, untuk tindakan selanjutnya.

"Kita masih menjalankan siasatan dan akan mendapatkan keterangan daripada keluarga remaja berkenaan selepas membuat pengecaman.

"Berdasarkan siasatan awal polis percaya kereta itu terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai," katanya.

Empat sahabat itu dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari rumah mereka di Bandar Seri Alam, di sini, ke Terengganu untuk bercuti.

Mereka yang berusia 21 tahun ialah Luqman Jainie, Abu Izzani Abu Bakar, Nik Shakir Zufayri dan Muhammad Asyraf Isa.

Mereka bertolak dari Seri Alam, di sini kira-kira jam 9.30 malam Rabu lalu dan dipercayai melalui jalan Johor Bahru-Kota Tinggi-Mersing-Rompin untuk ke lokasi percutian yang masih belum diketahui lokasinya secara tepat.

Bagaimanapun, selepas dua jam bertolak kira-kira jam 11.30 malam mereka gagal dihubungi melalui talian telefon bimbit.

myMetro 17 Februari 2016


Ketabahan keluarga empat sahabat

Mersing: Suasana hiba menyelubungi Rumah Mayat Hospital Mersing di sini, apabila ahli keluarga empat sahabat yang mayat mereka ditemui dalam kereta di sungai berhampiran ladang kelapa sawit di Felda Tenggaroh di Kilometer 42, Jalan Kota Tinggi-Mersing di sini, pagi tadi tidak dapat menahan kesedihan.

Penantian selama seminggu untuk bertemu kembali mangsa tidak disangka berakhir pilu.

Selain ibu bapa mangsa yang semuanya dari Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, turut kelihatan kenalan dan jiran keluarga berkenaan.

Mereka kelihatan tabah menantikan proses bedah siasat Luqman Jainie, Abu Izzani Abu Bakar, Nik Shakir Zufayri Nik Arif dan Muhammad Asyraf Isa selesai.

Difahamkan, selepas selesai bedah siasat kira-kira 1 tengah hari tadi, jenazah empat sahabat itu akan dibawa ke Masjid Nurul Hidayah Bandar Seri Alam, Pasir Gudang untuk disembahyangkan dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tengkorak dan Cahaya Masai.

Empat sahabat itu dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari rumah mereka di Bandar Seri Alam, di sini, ke Kuantan untuk mengambil sepupu Nik Shakir seterusnya meneruskan perjalanan ke Terengganu untukbercuti di situ.

Mereka bertolak dari Bandar Seri Alam, di sini kira-kira jam 9.30 malam Rabu lalu dan gagal dihubungi keluarga selepas tempoh dua bertolak.

myMetro 17 Februari 2016


Empat sekawan hilang

Empat pemuda yang dilaporkan hilang.

Johor Bahru: Empat lelaki termasuk dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berusia 21 tahun dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Terengganu pada 10 Februari lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, mereka ialah Luqman Jainie, Abu Izzani Abu Bakar, Nik Shakir Zufayri dan Muhammad Asyraf Isa.

Katanya, empat sekawan itu bertolak dari Seri Alam, Pasir Gudang pada 9.30 malam pada 10 Februari dengan menaiki kereta jenis Honda Accord bernombor pendaftaran JEB9978.

Katanya, mereka yang dikatakan mahu bercuti di Terengganu gagal dihubungi keluarga selepas tempoh dua jam bertolak dari Seri Alam.

"Mereka dipercayai mahu menggunakan laluan Mersing- Rompin untuk ke lokasi percutian di Terengganu.

"Mereka masih tidak dapat dikesan. Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kumpulan remaja lelaki itu agar tampil menyalurkan maklumat ditalian 07-2212999 atau 07-3864222," katanya.

myMetro 17 Februari 2016


Misteri kehilangan empat pemuda terjawab

Keadaan kereta yang terlibat dalam kemalangan selepas terbabas ke dalam parit berkenaan.

SKUDAI - Penemuan sebuah kereta jenis Honda Accord yang dijumpai terbalik di dalam parit di Kilometer 42 Jalan Mersing-Kota Tinggi, dekat sini merungkai misteri kehilangan empat pemuda yang dilaporkan gagal dihubungi keluarga mereka sejak seminggu lalu.

Kesemua mereka ditemui mati di dalam kenderaan berkenaan selepas dijumpai pekerja ladang kelapa sawit kira-kira jam 8.10 pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, kenderaan berkenaan yang dipercayai dinaiki keempat-empat mangsa disyaki terlibat dalam kemalangan sebelum terbabas ke dalam parit berkenaan.

"Kes disiasat mengikut kes orang hilang dan kita menolak sebarang unsur jenayah di dalam kejadian ini. Kita juga masih meneruskan siasatan untuk mengenalpasti punca kemalangan.

"Kesemua mayat dibawa ke Hospital Mersing untuk siasatan lanjut dan keluarga mangsa akan membuat pengecaman bagi mengenalpasti identiti mayat," katanya.

Sebelum ini pihak polis menerima empat laporan di Balai Polis Seri Alam pada 11, 12, 15 dan 16 Februari berhubung kehilangan empat pemuda berkenaan yang sedang dalam perjalanan bercuti ke Terengganu.

Kesemua mereka dikatakan bertolak dari Bandar Seri Alam pada 10 Februari menaiki kereta jenis Honda Accord namun gagal dihubungi keluarga kira-kira dua jam selepas perjalanan.

Sinar Harian 17 Februari 2016


Remaja maut dalam kereta, teruja mahu bercuti

Kereta Honda Accord yang dipercayai dinaiki empat remaja lelaki yang ditemui terjunam ke dalam sebatang anak sungai di Kilometer 42 Jalan Mersing-Kota Tinggi hari ini. - Foto Bernama

MERSING - "Dia tidak biasa memandu, selalunya kalau berjalan dia hanya naik motosikal dan kawasan yang paling jauh dia pergi pun hanya ke Kota Tinggi," kata Nor Akmah Junoh, ibu kepada Nik Shakir Zufayri Nik Arif yang maut dalam kemalangan kereta di Jalan Mersing-Kota Tinggi Rabu lepas.   

Nik Shakir Zufayri dan tiga rakannya maut dalam perjalanan untuk bercuti di Terengganu.

Nor Akmah, 42, berkata Nik Shakir Zufayri amat teruja untuk bercuti di Terengganu memandangkan dia tidak pernah mengetahui keistimewaan negeri pantai timur.

Menurut wanita itu, anaknya pernah bertanyakan kepadanya mengenai tempat-tempat menarik di sekitar Terengganu.

"Saya orang Kelantan tetapi sudah tinggal di Johor sejak arwah (Nik Shak ir Zufayri) dilahirkan.

"Kawan-kawannya juga orang Johor dan tidak pernah pergi ataupun tahu mengenai pantai timur.

"Jadi suatu hari, dia bertanya kepada saya, ada apa di sana (Terenggnu) dan dekat mana tempat yang lawa (menarik).

"Saya jawab, pergilah ke Kerteh atau bandar Kuala Terengganu, boleh tengok lampu kelip-kelip pada waktu malam," kata Nor Akmah ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Mersing, di sini, hari ini.

Nor Akmah berkata, tidak lama kemudian, Nik Shakir Zufayri berpakat dengan rakan-rakannya untuk bercuti di Terengganu dan mereka bertolak menaiki sebuah kereta, Rabu lepas.

Menurut ibu itu, Nik Shakir Zufayri tidak menunjukkan sebarang sikap pelik dan sempat bersalaman dengannya, bapanya, serta adik-adiknya sebelum berlepas.

"Anak saya tidak menghubungi keluarga kerana saya tahu dia yang memandu kenderaan sehinggalah pada pukul 12 tengah malam (Rabu), saya tergerak untuk menelefonnya tetapi panggilan itu tidak berjawab," katanya.          

Sementara itu, Intan @ Molek Mohd Yusoff, 50, pula berkata anaknya, Abu Izzani Abu Bakar, sempat berpesan akan menghubungi keluarga apabila tiba di Terengganu.

Intan berkata, Abu Izzani merupakan anak bongsu daripada tiga adik beradik dan sangat manja dengan keluarga.  

"Dia (Abu Izzani) sempat cakap 'adik pergi dulu', sebelum mencium pipi dan bersalam dengan makcik," katanya.

Terdahulu, Nik Shakir Zufayri dan Abu Izzani serta dua lagi rakan mereka iaitu Muhammad Asyraf Isa dan Luqman Jainie dilaporkan hilang pada Rabu lepas ketika kesemuanya berumur 21 tahun itu dalam perjalanan ke Terengganu.   

Difahamkan, mereka menaiki kereta jenis Honda Accord dan terbabas ke tepi jalan sebelum melanggar besi penghadang dan terjunam ke anak sungai di laluan tersebut, kira-kira 11.30 malam.

Kemalangan berlaku di KM42 Jalan Mersing-Kota Tinggi.

Kereta mereka ditemui di dalam anak sungai itu oleh seorang pekerja ladang kelapa sawit, kira-kira 8.10 pagi tadi ketika hendak membersihkan kawasan ladang dan kesemua mayat kemudian ditemukan dalam kenderaan terbabit. – Bernama

17 Feb 2016


‘Mak, adik pergi dulu’

MERSING 17 Feb. – “Mak, adik pergi dulu.”

Itu kata-kata Abu Izzani Abu Bakar, 21, kepada ibunya Intan @ Molek Mohd. Yusoff, 50, pada Rabu lalu bukan seperti kebiasaannya sebaliknya merupakan ucapan perpisahan setelah mayat Allahyarham bersama tiga rakannya ditemukan dalam kereta di sungai sebuah ladang kelapa sawit di Kilometer 42, Jalan Kota Tinggi-Mersing, di sini hari ini.

Intan berkata, Abu Izzani yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik sempat mencium pipi dan bersalam dengannya sebelum keluar dari rumah mereka di Taman Seri Alam, Johor Bahru kira-kira pukul 9.30 malam Rabu lalu.

“Dia (Abu Izzani) merupakan anak yang manja dan sebelum dia bergerak ke Terengganu saya ada berpesan kepadanya agar sentiasa menghantarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya, namun selepas itu dia langsung tidak menghantar SMS selain gagal dihubungi.

“Selama tujuh hari dia hilang pelbagai ikhtiar kami sekeluarga telah lakukan termasuk menjejaki laluan yang digunakan mereka ke Terengganu selain melakukan solat hajat,” katanya ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Mersing.

Menurut Intan, dia akhirnya menerima berita berhubung penemuan kereta dan keempat-empat mangsa daripada salah seorang ahli keluarga mangsa pagi ini.

“Meskipun sedih dengan nasib yang menimpa anak saya namun kami reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.
Sementara itu Nik Arif Nik Mansor, 46, bapa kepada Nik Shakir Zufayri, 21, berkata, anaknya itu yang memandu kereta sepatutnya menjemput sepupunya di Kuantan namun gagal dihubungi sejak bertolak dari rumah mereka.

“Pukul 12 tengah hari keesokan harinya kakak ipar di Kuantan hubungi saya mengatakan anak saya masih belum sampai di sana selain gagal dihubungi.

“Saya juga ada cuba menjejaki laluan ke Kuantan sebanyak tiga kali termasuk melalui kawasan kejadian kemalangan anak saya namun tidak menemukan apa-apa sehinggalah dimaklumkan berhubung penemuan kereta Honda Accord anak saya di sungai itu pagi ini,” katanya.

Nik Arif yang merupakan bapa kepada empat anak berkata, dia membuat pengecaman anak sulungnya itu berdasarkan kasut dan tali pinggang yang dipakai Nik Shakir Zufayri.

Katanya, anaknya itu sudah beberapa kali ke Terengganu namun kali ini pergi ke negeri itu bersama-sama tiga rakannya itu.

Utusan 18 Feb 2016


Bapa Abu Izzani sempat beli stok telur, mi sebelum anak maut

PASIR GUDANG – Bapa Allah­yarham Abu Izzani Abu Bakar yang ditemui maut di dalam sebuah kereta yang terhumban ke dalam sebatang anak sungai di Mersing, Johor lebih seminggu lalu sempat menyediakan stok makanan untuk arwah.

Abu Bakar Rozali, 55, berkata, Abu Izzani yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik mudah lapar terutama pada lewat malam.

“Lazimnya, ketika ahli keluarga tidur, saya akan mendengar bunyi arwah memasak di dapur antara pukul 2 hingga 3 pagi. Sepanjang hayatnya, saya wajib sediakan barang memasak untuk adik (Abu Izzani) kerana dia gemar bangun dan memasak pada waktu tengah malam.

“Amalan itu amat saya rindui sejak dia meninggalkan kami. Saya juga sempat membeli stok baharu makanan berupa telur dan mi sebelum dia pergi,” katanya dengan nada hiba.

Kosmo 20 Feb 2016


Merengek 'Ngah'

Johor Bahru: “Hidangan mi yang tersaji di meja membuatkan saya terbayang seolah-olah dia pulang ke rumah,” kata Abu Bakar Rozali, bapa kepada Allahyarham Abu Izzani, 21, yang ditemui maut dalam kereta bersama tiga rakannya di sebuah parit di Kilometer 42, Jalan Mersing-Kota Tinggi, Rabu lalu.

Abu Bakar, 55, berkata, naluri sebagai bapa menyebabkan dia sering terbayang Abu Izzani pulang ke rumah walaupun tahu ia tidak mungkin berlaku.

“Saya seolah-olah merasakan dia seperti pulang ke rumah dan mungkin ia akibat rindu terhadap arwah.

“Biasanya hanya dia yang selalu memasak pada lewat malam dan mi yang saya lihat di atas meja rumah seolah-olah dia ada di situ,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, cucunya, Mecca Azzahra Nik Nikman, 2, yang rapat dengan arwah kerap memanggil ‘Ngah’ (pak ngah) sambil merengek mahu masuk ke bilik arwah.

Menurutnya, walaupun anaknya tiada namun dia bersyukur kerana sempat membelikan Proton Saga FLX buat anaknya itu pada hari lahir pada 1 Januari lalu.

“Saya berjanji belikan dia kereta kalau dia berjaya sebagai hadiah hari jadi,” katanya.

Terdahulu, Abu Bakar ditemui di surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini, semalam, dalam satu majlis penyerahan sumbangan peribadi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah melalui Setiausaha Sosial Permaisuri Johor, Aimie Rozaine Ahmad.

Dalam majlis itu, tiga lagi keluarga mangsa iaitu Nik Shakir Zufayri Nik Arif, Luqman Jainie dan Muhammad Asyraf Isa turut menerima sumbangan.

Sumbangan itu tanda ihsan dan rasa ambil berat baginda yang masih sedih dengan kehilangan puteranya, Allahyarham Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim.

Raja Zarith turut menyampaikan pesanan kepada keluarga mangsa supaya banyakkan bersabar dan berharap semoga ada hikmah di sebalik dugaan Allah itu.

myMetro 20 Februari 2016


'Ku pujuk hati setiap kali rindu bertamu'

PASIR GUDANG - “Setiap kali nak tidur, saya akan pastikan pintu bilik arwah ditutup kerana rasa dia ada di dalam, seperti kebiasaannya dia akan menutup pintu biliknya setiap kali balik ke rumah."

Itu luahan ibu Allahyarham Abu Izzani Abu Bakar, 21, salah seorang mangsa kemalangan, yang mayatnya ditemui di dalam kereta terjunam dalam parit di Kilometer 42 Jalan Mersing-Kota Tinggi, kira-kira jam 8 pagi pada 17 Februari lalu.

Intan @ Molek Mohd Yusoff, 50, berkata, dia akan memujuk hatinya dengan menganggap anak bongsunya itu pergi belajar setiap kali kerinduan hadir tidak tertanggung.

Menurutnya, meskipun sukar menerima kenyataan satu-satunya anak bujang paling rapat dengannya sudah tiada lagi di dunia, namun dapat menatap wajah arwah kali terakhir itulah menjadi pengubat kerinduannya.

“Sejak keluar rumah 10 Februari lalu, saya buntu mencari arwah kerana dia hilang tanpa khabar berita tetapi Alhamdulillah, saya dapat menatap wajahnya buat kali terakhir sebelum dikebumikan.

“Walaupun mayatnya hampir seminggu di dalam air, tapi saya dan suami kenal itulah raut wajah anak yang sangat rapat dengan kami,” katanya ketika kunjungan Sinar Harian bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di kediamannya di Bandar Seri Alam, di sini, semalam.

Intan berkata, hasrat arwah anaknya untuk bercuti ke Terengganu bersama tiga lagi rakan karibnya tidak dihalang kerana dia mengenali rakan anaknya itu sejak mereka di tahun satu.

“Mereka berkawan sejak darjah satu, selepas habis tingkatan lima, masing-masing menyambung pengajian di lokasi berbeza.

“Apabila musim cuti, mereka akan berkumpul dan merancang aktiviti bersama, sebab itu saya tak pernah halang hasrat mereka," katanya.

Empat sahabat berumur 21 tahun, Abu Izzani, Luqman Jainie, Nik Shakir Zufayri dan Muhammad Asyraf Isa dilaporkan hilang sejak 10 Februari lalu selepas bertolak dari Bandar Seri Alam, kira-kira jam 9.30 malam ke destinasi percutian di Terengganu.

Bagaimanapun, misteri kehilangan empat remaja itu terungkai selepas mayat mereka ditemui di dalam kereta yang terjunam ke dalam parit berhampiran ladang kelapa sawit di Kilometer 42, Jalan Jamaluang Kota Tinggi-Mersing 17 Februari lalu.

Sementara itu, Pengarah Perkeso negeri, Muhamad Alif Haikal Cheong Abdullah berkata, salah seorang mangsa, Luqman yang telah bekerja layak menerima faedah Tuntutan Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat yang akan dibayar kepada warisnya.

Dalam pada itu, Normala turut menyampaikan wang tunai kepada keluarga Izzani.

Sinar Harian 25 Feb 2016




0 comments:

Post a Comment