February 22, 2016

'Kasihku tinggal satu...'

Mohd Hazarul Haswad menjaga ibu angkatnya yang menderita kencing manis kronik di Hospital Tanah Merah.

Tanah Merah: Antara mereka tiada pertalian darah, sekadar anak dan ibu angkat, namun pelajar sebuah pusat tahfiz di Pasir Mas, sanggup mengorbankan masa belajarnya kerana demi menjaga wanita itu yang menderita kencing manis kronik.

Demi kasihnya terhadap wanita yang dianggap seperti ibu kandung, Mohd Hazarul Haswad Abdul Rahman, 13, tidak ke sekolah dua bulan, sebaliknya menggalas tanggungjawab mengurus keperluan ibu angkatnya, termasuk memandikan, memakai pakaian sehingga menyuap makanan dan minuman.

Katanya, dia tiada ibu lain lagi dan hanya Rohani Mahmood, 48, satu-satunya anggota keluarga yang dia ada kerana yatim sejak kecil.

Difahamkan, bapa remaja itu meninggal dunia akibat kemalangan ketika dia masih kecil, manakala ibu menemui ajal ketika melahirkannya.

“Saya membesar dengan ummi (Rohani) dan sejak bayi lagi dia memelihara dengan bantuan kakaknya yang menjadi ibu angkat kedua saya. Saya tiada sesiapa di dunia ini melainkan mereka.

“Kami hanya ada satu sama lain kerana ummi pun tiada anak lain, manakala ayah (suami Rohani) meninggal dunia tujuh tahun lalu kerana sakit jantung.

“Jadi, saya bertanggungjawab menjaga dia ketika sakit dan memastikan kebajikannya terpelihara,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, Rohani dimasukkan ke Hospital Tanah Merah (HTM), di sini, 12 Februari lalu dan sejak itu dia ‘berumah’ di sisi katil ibunya.

Walaupun sedar kerugian menangguhkan persekolahan apatah lagi sudah menghampiri proses menghafaz al-Quran, Mohd Hazarul Haswad berkata, dia tidak tenteram membiarkan ibunya keseorangan.

“Kalau saya ke sekolah, siapa yang mahu jaga ummi sedangkan dia hanya terlantar. Ahli keluarga ummi tiada yang berdekatan untuk ganti saya.

“Biarlah saya berkorban, asalkan ummi cepat sembuh. Alhamdulillah, pihak sekolah memahami keadaan saya dan memberi kelonggaran,” katanya yang sudah menguasai Iqra’ tahap lima.

Bercerita mengenai pendidikannya, dia mengakui hanya bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Chetok, Pasir Mas sebelum menuntut di pusat tahfiz swasta.

Katanya, Rohani mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala pengajiannya di maahad itu secara percuma dan dia tinggal di asrama.

Menurutnya, besar impiannya untuk terus bersekolah seperti remaja lain tetapi dalam masa sama dia mahu ibunya kembali sihat.

“Saya akan terus bersabar dan berada di sisi ummi,” katanya yang tinggal bersama Rohani di Kampung Galok, Chetok, Pasir Mas.

Kisah kecekalan Mohd Hazarul Haswad menjaga ibunya yang sakit dimuat naik sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan menjadi viral dua hari lalu.

Sejak itu, katanya, menerima kunjungan pelbagai pihak yang menunjukkan keprihatinan dan berterima kasih kepada mereka yang memberi sumbangan.

myMetro 22 Februari 2016


Terpaksa ponteng sekolah demi ibu

Mohd Azrul Aswad membantu menyuapkan minuman kepada Rohani yang sedang menerima rawatan di Hospital Tanah Merah.

TANAH MERAH - Biarpun baru berusia 13 tahun, tanggungjawab dipikul seorang pelajar tahfiz dari Kampung Galok, Pasir Mas ini cukup berat apabila terpaksa ponteng sekolah untuk menjaga ibu angkatnya yang menghidap diabetes kronik.

Sebagai satu-satunya anak angkat yang dibela sejak lahir, Mohd Azrul Aswad Abdul Rahman terpaksa mengorbankan persekolahannya untuk menjaga ibu angkatnya, Rohani Mahmood, 48, yang sakit sejak dua bulan lalu.

Tanggungjawab digalas pelajar ini semakin berat apabila dia terpaksa menguruskan Rohani termasuk memandikan, mencuci najis dan menyuap makanan selepas ibu angkatnya itu dimasukkan ke hospital sejak 10 hari lalu.

Mohd Azrul Aswad yang bersekolah di Sekolah Tahfiz Serendah, dekat Pasir Mas, mengakui terbeban dengan tanggungjawab itu, namun dia tiada pilihan lain demi kasih sayang kepada insan yang membesarkannya.

“Umi (panggilan untuk ibu) jaga saya sejak kecil lagi, jadi saya ingin menjaganya pula dan sentiasa berada di sisinya semasa sakit dan dirawat di hospital kerana saya satu-satunya anak yang Umi ada.

“Dalam keadaan Umi tak mampu bergerak, saya tak boleh tinggalkan dia seorang diri. Umi ramai adik beradik tapi mereka pun uzur dan tak mampu nak jaga dia,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Tanah Merah (HTM), semalam.

Rohani yang berasal dari Dabong, Kuala Krai sebelum berpindah ke Kampung Galok, Pasir Mas selepas rumahnya hanyut dibawa air ketika banjir besar 2014 lalu, dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 12 Februari lalu.

Difahamkan, ini kali kedua Rohani dimasukkan ke wad HTM tahun ini selepas kali pertama pada 26 Januari lalu, sebelum dibenarkan pulang ke rumah beberapa hari kemudian akibat komplikasi penyakit sama.

Menurut Mohd Azrul Aswad, dia kehilangan ibu bapa kandung sejak lahir dan tidak mempunyai adik beradik, manakala bapa angkatnya pula meninggal dunia kira-kira enam tahun lalu.

“Kami berdua harapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM120 untuk sara hidup yang diterima Umi setiap bulan. Sebelum ini, Umi kerja di kantin tetapi terpaksa berhenti kerja sejak setahun lalu sebab sakit.

“Ibu saudara sebelah adik beradik Umi ada juga bantu hulurkan duit belanja sekadar mampu sebab mereka pun bukan orang senang. Sepanjang jaga Umi, hospital juga bantu beri makanan dan minuman percuma,” katanya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Bank Islam 03054020349067 atas nama Rohani Mahmood.

Sinar Harian 22 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment