February 29, 2016

Kanak-kanak lima tahun, korban pertama denggi tahun ini

KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dari Jalan Bayam, di sini menjadi korban pertama denggi di Kelantan dalam tempoh lapan minggu pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, kanan-kanak berkenaan dilaporkan meninggal dunia, minggu lepas.

Tahun lalu, dua kematian dicatatkan dalam tempah yang sama.

"Walaupun berlaku kematian dan peningkatan 518 kes berbanding 434 kes dalam tempoh lapan minggu pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas, wabak denggi di Kelantan masih dalam keadaan terkawal.

"Purata kes baharu denggi direkodkan setiap minggu di Kelantan ketika ini menunjukkan trend penurunan dan perkembangan positif," katanya kepada pemberita selepas mengetuai Operasi Penguatkuasaan Denggi di kawasan perumahan Wakaf Mek Zainab di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Dr Ahmad Razin berkata Kota Baharu mencatatkan jumlah tertinggi kes berkaitan denggi iaitu 348 kes, diikuti Tumpat (50), Bachok (41), Tanah Merah (28), Machang (20), Pasir Mas (17), Kuala Krai (8), Pasir Puteh (3), Jeli (2) dan Gua Musang (1).

Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat agar sentiasa mengutamakan aspek kebersihan bagi memastikan kawasan kediaman mereka bebas daripada ancaman denggi.

Katanya, langkah penguatkuasaan dan pencegahan juga akan sentiasa dipertingkat dari semasa ke semasa termasuk menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), pihak berkuasa tempatan dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). - Bernama

29 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment