February 19, 2016

Kanak-kanak dua tahun lemas di alur sungai

Gambar kenangan Darwish (kanan) bersama ibunya, Zainura.

Budak maut dalam alur sungai 

KUALA BESUT - Kegembiraan seorang kanak-kanak dua tahun bermain bersama kanak-kanak sebaya berhampiran alur sungai  berdekatan rumahnya di Kampung Jirat Cina di sini berakhir dengan tragedi apabila dia ditemui mati lemas.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.16 petang kelmarin, mangsa Muhammad Darwish Loqman Zaidi  dipercayai terjatuh ke dalam alur itu ketika sedang berada berseorangan di lokasi kejadian yang terletak di tepi rumahnya.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khalead Che Lah berkata, mangsa ditemui tidak sedarkan diri di dalam alur berkenaan oleh ahli keluarganya setelah menyedari kehilangannya.

Menurutnya,  mangsa kemudian dikejarkan oleh ibunya, Zainura Hamzah, 40, ke Klinik Kesihatan Kuala Besut untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia oleh doktor yang merawatnya.

“Ketika kejadian ibu mangsa dan adik beradiknya berada di rumah semenara bapa mangsa Zaidi Hashim, 42, tidak ada di rumah kerana bekerja di Tok Bali, Pasir Putih, Kelantan,” katanya.
Khaled berkata, mangsa  kemudiannya di hantar Ke Hospital Daerah Besut untuk bedah siasat kira-kira jam 10 malam kelmarin sebelum dituntut oleh waris.

Sementara itu bapa mangsa, Zaidi ketika dihubungi memberitahu  Muhammad Darwish Loqman merupakan anak bongsu daripada lima adik beradik.

Menurutnya,  ketika kejadian dia sedang bekerja mengasing dan membungkus ikan di kompleks pendaratan ikan Tok Bali sebelum dihubungi isterinya memberitahu kejadian itu.

“Sebelum kejadian ibu, adik beradik dan beberapa kanak-kanak lain ada di pekarangan rumah bersama Muhammad Darwish Loqman tetapi entah bagaimana dia boleh  terjatuh ke dalam alur itu.

“Kawasan alur itu akan digenangi ketika air sungai pasang dan kering ketika air surut. Ketika kejadian air sungai pasang namun air di kawasan alur itu sedalam hanya kira-kira paras betis orang dewasa sahaja. “ katanya.

Zaidi berkata, jenazah anaknya selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kuala Besut kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Sinar Harian 20 Feb 2016


Ajal budak dua tahun

Muhammad Darwish ditemui lemas. FOTO Mohammad Ishak

Besut: Budak lelaki berusia dua tahun ditemui lemas selepas terjatuh di alur sungai di Kampung Jirat Cina, Kuala Besut, di sini, 6.15 petang semalam.

Muhammad Darwish Loqman Zaidi dipercayai terjatuh ke dalam alur di tepi rumahnya ketika bermain seorang diri.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, mangsa ditemui sudah tidak sedarkan diri oleh ahli keluarganya selepas menyedari kehilangan kanak-kanak itu.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Besut sebelum disahkan meninggal dunia.

Katanya, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Besut untuk proses bedah siasat kira-kira 10 malam tadi sebelum dituntut ahli keluarganya.

myMetro 19 Februari 2016




0 comments:

Post a Comment