February 26, 2016

'Kami tak sedar apa yang berlaku'

JOHOR BAHRU - Hasrat sepasang suami isteri warga emas menjadi pembekal makanan kepada pekerja di sebuah tapak binaan musnah apabila kerugian RM97,000 setelah ditipu sekumpulan lelaki yang mahu menjual sebidang tanah dan menawarkan kontrak katering kepada mereka.

Malah mereka mendakwa seolah-olah dipukau kerana terlalu mudah mempercayai apa yang diminta meskipun berurusan dengan orang tidak dikenali.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ramlah, 60, berkata, pada 25 Januari lalu, dia dihubungi seorang lelaki bernama Helmi, menawarkan kontrak katering kepadanya.

Menurutnya, dia menyatakan minatnya menandatangani kontrak itu kerana berpengalaman mengusahakan kantin sekolah selama enam tahun sejak 2004 dan turut menjalankan perniagaan katering secara kecil-kecilan.

Katanya, pada hari sama, dia dan suami pergi berjumpa Helmi di sebuah pasar raya di Tebrau, di sini, bagi tujuan menandatangani kontrak tersebut tetapi diminta berjumpa lagi keesokan harinya di lokasi sama.

"Esoknya, saya jumpa seorang lelaki lain yang menggelar dirinya Haji Kamarul dan menawarkan saya kerja sebagai broker tanah bagi pihak kawannya iaitu pemilik tanah yang mahu dijual bernama Mohamad.

"Dan bermulalah rentetan penipuan ini selepas saya setuju jadi wakil kepada pemilik tanah terbabit. Tanah tersebut mahu dijual dengan harga RM900,000 kepada seorang lelaki  menggelar dirinya Datuk Wan.

“Saya dan suami pergi bertemu Datuk Wan di sebuah restoran di pusat bandar dan menerima wang pendahuluan RM90,000 daripadanya sebagai deposit pembelian tanah tersebut," katanya.

Ramlah berkata, dia yang langsung tidak mengesyaki apa-apa mengambil wang tersebut dan menyerahkannya kepada Haji Kamarul.

"Dia kemudiannya beritahu pemilik tanah tak mahu terima wang pendahuluan tersebut dan telah berjanji untuk menerima RM400,000 daripada pembeli.

"Disebabkan rasa bersalah dan khuatir, Haji Kamarul kemudiannya meminta saya dan suami  mendahulukan duit kami untuk diserahkan kepada Mohamad.

“Saya dan suami seperti 'tak sedar' apa yang berlaku kerana mengikut sahaja arahannya. Kami kemudiannya pergi ke bank dan keluarkan RM50,000 sebelum menyerahkannya kepada Haji Kamarul,’’ katanya.

Ramlah berkata, pada 27 Januari lalu, Haji Kamarul hubunginya semula dan menyatakan wang diberikan tidak mencukupi untuk urusan penyerahan geran tanah dan memintanya menyerahkan lagi sejumlah wang.

“Saya menggadaikan barang kemas bernilai RM40,000 dan kemudian memasukkan wang tunai RM47,000 ke dalam akuan seorang lelaki bernama Shee Fook seperti diarahkan Haji Kamarul.

“Esoknya, Haji Kamarul sekali lagi hubungi saya dan beritahu terpaksa tunda urusan penyerahan geran atas alasan wang masih belum mencukupi. Saya dan suami yang curiga minta untuk berjumpa dengannya, namun usaha kami gagal dan dia terus lesap selepas itu,” katanya.

Ramlah yang rasa tertipu dengan kumpulan lelaki terbabit telah membuat laporan di Balai Polis Seri Alam di sini, Khamis lalu sebelum membuat aduan di pejabat Ketua Biro Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan MCA, Michael Tay Chee Boon.

Sinar Harian 25 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment