February 19, 2016

Jatuh sungai ketika memancing

Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk bedah siasat

KULIM - Seorang lelaki maut selepas dipercayai tergelincir ke dalam sungai ketika memancing ikan di Sungai Kerian, dekat Ulu Mahang, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa Mohd Shauki Daud, 33, pergi memancing bersama seorang rakannya tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

Difahamkan, mangsa yang mempunyai masalah di bahagian kaki akibat kemalangan gagal berenang untuk menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, selepas terjatuh, rakan mangsa cuba membantunya namun gagal kerana keadaan gelap.

"Mayat mangsa ditemui kira-kira jam 2.30 pagi tersangkut pada ranting kayu.

"Mangsa dibawa ke hospital untuk dibedah siasat,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu.

Sementara itu, bapa mangsa, Daud Wahab, 63, berkata, anaknya ada memberitahu isterinya, Zainab Din, 62, untuk keluar memancing pada malam sebelum kejadian.

“Dia ada beritahu ibunya nak pergi memancing. Sebelum pergi memancing kira-kira jam 11 malam, dia sempat bersembang di depan rumah dengan kawan.

“Tak ada pula dia tunjukkan perangai pelik. Macam hari-hari biasa, dia memang sentiasa ceria dan senyum saja,” katanya.

Katanya, kaki anaknya memang ada masalah kerana dimasukkan besi selepas terlibat dalam kemalangan tahun lepas.

“Dia pernah terlibat kemalangan ketika bekerja di Temerloh, Pahang tahun lepas.

"Lepas kejadian tu, kakinya tak boleh banyak bergerak dan kalau duduk kena melunjur saja," katanya.

Menurutnya, selepas kemalangan itu, anaknya juga tidak bekerja.

"Walaupun dia tidak bekerja, tapi dialah yang banyak bantu saya dan isteri buat kerja rumah.

"Kadangkala dia ke sungai untuk menangkap ikan," katanya.

Katanya, jenazah anaknya dikebumikan di Kampung Tua, Ulu Kerian kira-kira jam 2 petang.

Sinar Harian 18 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment