February 10, 2016

Ikan paus mati tersangkut

IKAN paus masih hidup ketika ditemui di muara Sungai Sarang Buaya. FOTO ihsan pembaca

Batu Pahat: Ikan paus dianggar sepanjang lebih 10 meter yang tersangkut pada lumpur ketika air surut di Pantai Rambah, Pontian, semalam mati terdampar di muara Sungai Sarang Buaya, berhampiran Semerah, dekat sini, petang tadi.

Paus itu ditemui tersangkut di beting lumpur di muara itu oleh nelayan dan penduduk berhampiran kira-kira 4.30 petang tadi.

Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Batu Pahat, Leftenen Komander Muhammad Zulkarnain Abdullah, berkata, empat anggota APMM dikejarkan ke lokasi kejadian menggunakan bot peronda sebaik dimaklumkan.

"Setiba di lokasi kejadian, paus itu didapati tersangkut di beting lumpur kawasan muara Sungai Sarang Buaya yang ketika itu air sedang surut.

"Ketika ditemui paus berkenaan masih hidup sebelum anggota APMM dan 15 nelayan cuba membantu menariknya semula ke tengah laut. Bagaimanapun ketika operasi menyelamat sedang dijalankan, paus berkenaan didapati sudah mati akibat kekurangan air.

Menurutnya tindakan lanjut akan dijalankan esok berikutan keadaan semakin gelap.

myMetro 9 Februari 2016


Nelayan sedih kematian paus 'si corner'

BATU PAHAT - Kematian paus di muara Sungai Sarang Buaya, Semerah, di sini, menimbulkan rasa sedih terhadap seorang nelayan di Pontian selepas berhempas-pulas kira-kira tiga jam menyelamatkan mamalia itu, apabila ditemui di tepi pantai Taman Rekreasi Pantai Rambah, Pontian, dua hari lepas.

Ismail Sirat, 47, berkata walaupun hanya mengenali paus itu yang sempat digelarnya sebagai 'si corner' dalam masa yang singkat, namun, badannya berasa lemah sejurus menerima berita kematian haiwan terbabit, kira-kira 7.30 malam semalam daripada seorang rakan.

"Kawan saya cuma beritahu ada kematian seekor paus di Batu Pahat dan minta saya melihat video penemuan ikan itu yang masih hidup serta menjadi viral di laman sosial.

"Pada mulanya, saya berharap paus tersebut bukanlah 'si corner' tetapi kemudian terpaksa menerima hakikat bahawa itu adalah haiwan terbabit berdasarkan penemuan tali yang terikat pada ekornya ketika usaha menyelamatkannya tempoh hari," katanya yang dihubungi hari ini.

Ismail berkata, pihak Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Terengganu kemudian ada menghubunginya dan mengajak untuk melihat bangkai 'si corner' hari ini, namun, dia terpaksa membatalkan hasrat itu kerana perlu menziarah seorang anggota keluarga yang meninggal dunia.

Menurut Ismail, dia kemudian sekadar dapat melihat bangkai paus terbabit menerusi gambar yang ditunjukkan wakil Jabatan Perikanan Johor yang berkunjung ke rumahnya, petang ini.

"Saya berasa terkilan dengan kematian 'si corner' kerana penat menyelamatkannya, masih belum hilang. Saya sebenarnya amat berharap dia selamat ke laut lepas dan terus hidup," katanya.

Semalam, Ismail yang ditemui pemberita di Pontian, menceritakan dia bersama 11 individu lain terpaksa menolak dan menarik paus terbabit sebanyak enam kali dari bahagian cetek ke bahagian dalam mulai 2.30 petang sebelum berjaya kira-kira 5.30 petang.

Ismail berkata, 'Si Corner' mendapat gelaran kerana sikapnya yang 'berdegil' menghala ke arah lain serta berpusing berpatah balik ke bahagian cetek ketika cuba ditarik menggunakan sebuah bot ke bahagian laut dalam. - Bernama

10 Feb 2016




0 comments:

Post a Comment