February 1, 2016

Ibu tua tabah jaga anak OKU

Chon Siang menunjukkan kad pengenalan lama yang masih dimiliki Yoke Chan ketika melawat kediamannya, di Kampung Air Terjun, Sungai Lembing, semalam.

KUANTAN – Beban ditanggung keluarga seorang wanita kurang upaya mendapat perhatian apabila menerima bantuan barang keperluan harian dan wang tunai sumbangan Adun Teruntum, Sim Chon Siang.

Bantuan yang dihulurkan sempena sambutan Tahun Baharu Cina itu membantu meringankan beban keluarga Cheng Yoke Chan, 56, yang cacat seluruh anggota badan dan tidak mampu bercakap.

Ibunya, Wong Mui, 92, berkata, anak bongsunya yang dilahirkan cacat sejak kecil juga tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Menurutnya, pelbagai ikhtiar sudah dilakukan untuk mengurangkan penderitaan anaknya itu namun usaha mereka terbatas akibat kekangan kewangan.

“Kami perlu kira-kira RM1,000 tiap bulan untuk makan minum, ubat dan lampin (pakai buang).

“Dia perlu makanan khas untuk elak kena sawan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Air Terjun, Sungai Lembing, dekat sini, kelmarin.

Wong Mui berkata, anaknya ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, tetapi tidak cukup.

“Saya guna duit sendiri dan anak-anak lain,” katanya.

Dia berkata, anaknya yang hanya terbaring memerlukan penjagaan yang rapi.

Tempat tidurnya perlu sentiasa bersih dari sebarang sampah kerana dia akan gigit apa sahaja benda yang dia dapat.

“Sebab itu kami tidak bagi bantal atau selimut kepada dia,” katanya.

Sementara itu, Chon Siang berkata, Pusat Khidmat Masyarakat Dun Teruntum tiada peruntukan khas, tetapi beliau ambil inisiatif untuk membantu.

“Kami cuba bantu setakat termampu, termasuk membawa doktor untuk periksa Yoke Chan.

“Memandangkan dia masih lagi guna kad pengenalan lama, kami juga akan cuba bawa pegawai dari Pejabat Pendaftaran Negara bagi menguruskan pertukaran dokumen itu supaya urusan berkaitan bank, termasuk penyaluran bantuan, dapat dipermudahkan pada masa akan datang,” katanya.

Sinar Harian 1 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment