February 25, 2016

Ibu rindu peluk zuriat


MIO Yin

MOHD Ekhuwan dan Nur Shahida menlawat Ahmad Adam Aqil. MOHD Ekhuwan dan Nur Shahida menlawat Ahmad Adam Aqil. 

Kuala Lumpur: Seorang bayi lelaki dan seorang gadis memerlukan sumbangan orang ramai bagi membiayai kos pembedahan penyakit jantung dihidapi mereka.

Bayi Ahmad Adam Aqil Mohd Ekhuwan berusia dua bulan dari Kota Bharu, Kelantan dan Leong Mio Yin, 21, dari Ayer Itam, Pulau Pinang, masing-masing memerlukan RM60,000 untuk menjalani pembedahan di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.

Ibu Ahmad Adam Aqil, Nur Shahida Mohamed, 25, berkata dia rindu untuk memeluk anak pertamanya itu kerana sudah sebulan lebih bayinya terlantar di wad kritikal.

“Saya hanya sempat menyusukan Adam Aqil selama 10 hari saja selepas dia dilahirkan.

“Saya rindu untuk menyusukan dan memeluk dia, sudah terlalu lama dia terlantar. Saya tidak sabar melihat Adam Aqil cepat sembuh, ” luahnya.

Menurut Nur Shahida, bayinya menghadapi masalah saluran darah utama dari jantung ke bahagian bawah yang terputus menyebabkan Adam Aqil cepat penat dan kekurangan oksigen.

“Pada hari ke sebelas, penyakitnya dikesan. Tak dapat digambarkan perasaan ini sebaik mengetahui kesihatan dia, semua bercampur sedih dan takut kehilangan.

“Adam Aqil zuriat yang dinantikan saya dan suami sejak berkahwin tahun lalu, walaupun sedih, tetapi saya reda dan berharap dia sembuh,” katanya.

Katanya sejak itu Hospital Raja Perempuan Kedua (HRPZII) menjadi rumah kedua mereka.

Sementara itu, kakak tiri Mio Yin, Leong Zheng En, 34, berkata adiknya itu perlu dibedah segera kerana masalah jantungnya semakin kritikal.

“Patutnya pembedahan dibuat ketika usia dia 12 tahun, tetapi disebabkan masalah kewangan, pembedahan terpaksa ditangguhkan.

“Tetapi, kali ini tidak boleh tangguh lagi kerana saluran darah dari jantung ke paru-paru makin sempit dan menyukarkan pernafasan,” katanya.

Katanya, bantuan kewangan diperlukan bagi membiayai pembedahan Mio Yin memandangkan bapanya Leong Ah Ha, 68, sudah meninggal dunia, manakala ibunya Chuang Woon Inn, 64, tidak bekerja dan bergantung kepada bantuan daripada Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM).

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi cek atas nama Media Prima-NSTP Humanitarian Fund dengan menulis nama pesakit di belakang cek dan hantar ke Jabatan Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Berhad, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau menghubungi talian 03-27248977 atau 019-3378350.

myMetro 24 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment