February 26, 2016

Ibu rayu bantu anak hidap sakit saraf

Rohani perlu beri perhatian penuh kepada Batrisyia.

PASIR MAS - Setiap insan bergelar ibu pasti ingin melihat anak kandungnya membesar sihat dan sempurna. Namun, tidak semua diberikan nikmat sebegitu kerana sebagai hamba, ALLAH SWT memberikan nikmat berbeza-beza yang  dizahirkan menerusi ujian sebagai bahasa cinta kepada mereka yang beriman.

Begitulah dihadapi ibu terpilih dan tabah, Rohani Yatim, 40, yang diuji anak bongsunya berpenyakit saraf ketika memasuki usia tiga tahun.

Ibu tabah beranak lima ini memberitahu, dirinya tetap bersyukur kerana diberi kesempatan melihat Nur Ratu Batrisyia Mohd Nazri, 6, membesar sempurna selama dua tahun sebelum disahkan menghidapi Spinal Muscular Atophy Type II.

"Tempoh dua tahun dapat tengok dia membesar sempurna sudah cukup bermakna buat saya sebagai ibunya. Ini ujian ALLAH, sebagai hamba-Nya saya reda," katanya tenang.

Menurutnya, sehingga kini, Batrisyia hanya terlantar dan memerlukan bantuan alat pernafasan untuk meneruskan hidup.

“Walaupun, tak dapat bergerak tapi dia boleh bercakap dengan baik macam kanak-kanak lain. Cuma, anggota tangannya sahaja yang dapat digerakkan perlahan-lahan,” katanya ketika ditemui di Kampung Cabang Tiga Gelang Mas di sini, semalam.

Menurutnya, Batrisyia bukan anak pertama yang menghidap penyakit saraf kerana dua lagi kakak Batrisyia turut mengalami sakit sama.

"Tapi umur mereka tak panjang... meninggal dunia ketika masing-masing berusia setahun dan dua tahun," katanya.

Batrisyia memerlukan perhatian khusus kerana kahaknya perlu disedut setiap masa menyebabkan dia tidak dapat keluar bekerja bagi bantu ringankan tanggungjawab suaminya Mohd Nazri Abdul Rahman, 46. menyara keluarga, katanya.

"Suami kerja pengimpal besi dengan pendapatan RM50 sehari. Pendapatan itulah kami guna bayar sewa rumah RM200 sebulan, belanja pendidikan anak sulung berusia 19 tahun di Kolej Komuniti Kok Lanas dan anak ketiga umur 13 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Meranti.

“Batrisyia dapat bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, tapi ia tak cukup sebab setiap bulan saya perlu sediakan susu, lampin pakai buang, dan tukar peralatan mesin pernafasan juga penyedut kahak... perlukan kos tinggi.

“Semenjak tahun lepas, saya terpaksa tukar susu Batrisyia pada yang lebih murah walaupun kurang berkhasiat sebab susu sebelum ni harganya terlalu mahal cecah RM100 setin,” katanya.

Menurutnya, bukan itu sahaja Batrisyia perlu sejuk sentiasa dan disebabkan itu dua kipas dipasang sepanjang hari bagi memastikannya sentiasa selesa.

Katanya, walaupun bil elektrik tinggi tetapi mereka terpaksa berbuat demikian demi menghindari Batrisyia jatuh sakit.

Mereka yang ingin membantu boleh salurkan bantuan:
Bank Simpanan Nasional: 01131-29-844-18395-6
Penama: Rohani Yatim

Sinar Harian 25 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment