February 12, 2016

Hilang ketika memukat di laut

Penampang: Lelaki dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika keluar memukat di laut di hadapan Taman Villa, di sini, semalam.

Difahamkan mangsa Wahid Sapari, 67, keluar memukat seorang diri sekitar kira-kira 3 petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Penampang, Mohammad Akramin Sakirun ketika ditemui, hari ini memaklumkan kali terakhir mangsa dilihat berada di perahunya kira-kira 6 petang.

"Sebelum kejadian, mangsa disapa seorang nelayan yang sedang dalam perjalanan pulang.

"Ketika itu, mangsa memberitahu dia sedang mengalami sakit dada dan pening," katanya.

Tambahnya, sehingga kini operasi mencari dan menyelamat masih di sekitar lokasi kejadian yang terletak kira-kira 510 meter dari pusat kawalan operasi.

Operasi mencari akan terus dilakukan sehingga ke Tanjung Aru dan pulau berhampiran di bahagian utara mengikut arah pergerakan angin.

myMetro 12 Februari 2016


Warga emas dikhuatiri lemas

Penampang: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika keluar memukat di laut, kira-kira 500 meter dari Taman Villa, Putatan di sini, jam 6 petang kelmarin.

Wahid Sapari, 67, dipercayai terjatuh ke laut selepas mengalami pening dan sakit dada sebaik selesai memasang pukat.

Isterinya, Mariam Muktaman, 55, berkata, Wahid keluar rumah jam 3 petang kelmarin dan memaklumkan mahu memukat di kawasan berhampiran.

“Biasanya, suami pulang sekitar jam 8 malam. Semalam (malam kelmarin), seorang jiran yang juga nelayan memaklumkan suami mungkin terjatuh ke laut.

“Menurut jiran, kira-kira jam 6 petang, dia terserempak dan turut menegur suami ketika dalam perjalanan pulang ke jeti. Suami memaklumkan kepada jiran yang dia sakit dada dan pening. Jiran kemudiannya meneruskan perjalanan ke jeti.

“Bagaimanapun, selepas bergerak seketika, jiran menoleh ke belakang sebelum mendapati suami tiada di perahu. Jiran bergegas ke perahu suami namun gagal menemuinya sebelum pulang mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Mariam, dengan bantuan penduduk kampung, mereka sekeluarga turun semula ke laut untuk mengesan Wahid namun ia menemui jalan buntu.

“Suami pernah mengadu sakit dada dan jarang makan. Biasanya, dia hanya membawa air kopi untuk bekalan ketika memukat namun semalam (kelmarin), dia tidak membawa bekalan air,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Mohammad Akramin Sakirun berkata, setakat jam 6 petang semalam, mangsa masih gagal ditemui.

“Kami menerima aduan berkaitan kejadian jam 10.48 pagi tadi (semalam) sebelum memulakan usaha mengesan mangsa. Pencarian akan diperluaskan sehingga ke perairan Tanjung Aru dan sekitar pulau berhampiran mengikut arah tiupan angin,” katanya.

myMetro 13 Februari 2016 

0 comments:

Post a Comment