February 8, 2016

Harimau bunting mati dirempuh MPV


HARIMAU belang ini mengalami kecederaan parah pada kepala.

KEMAMAN – Seekor harimau betina bun­ting bernasib malang apabila mati dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex di Kilometer 321.2, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Plaza Tol Kerteh di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, mamalia daripada spesies Harimau Malaya (Malayan Tiger) tersebut cuba melintasi lebuh raya berkenaan sebelum dilanggar MPV yang dipandu Mohd. Syahrin Abdul Aziz, 43, bersama tiga lagi ahli keluarganya.

Mereka sekeluarga dikatakan dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke kampung di Ajil, Hulu Terengganu sempena cuti Tahun Baru Cina.

Menurut Mohd. Syahrin, ketika kejadian kawasan tersebut amat gelap.

“Sebaik tiba di lokasi tersebut, saya terperanjat apabila tiba-tiba seekor harimau berlari melintas lebuh raya dalam jarak tidak sampai lima meter di hadapan kereta saya.

Kosmo 7 Feb 2016


'Senang-senang buat tuduhan'

Marang: Jurugambar bebas, Mohd Syahrin Abdul Aziz, 43, berasa amat kesal apabila ada sesetengah pihak menuduhnya sengaja melanggar harimau betina dalam kejadian di Kilometer 321.2 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), dekat Kerteh, pagi kelmarin.

“Saya memang tidak berniat langsung melanggar harimau itu kerana saya juga mempunyai rasa simpati. Kejadian kemalangan ini satu dalam sejuta,” katanya.

Menurutnya, hatinya tambah sedih apabila mendapati haiwan yang dilanggarnya itu adalah harimau betina bunting.

“Saya sedih apabila membaca akhbar dan pihak PERHILITAN (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) mengesahkan harimau itu bunting dua ekor anak.

“Tuduhan segelintir pihak adalah tidak wajar kerana bukan niat saya untuk melanggarnya,” katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Kampung Pusu 3 di sini, semalam.

Semalam, Pengarah PERHILITAN Terengganu Mohd Hasdi Husin mengesahkan haiwan terbabit bunting dua bulan apabila hasil bedah siasat dijalankan terhadapnya menemui dua janin harimau di dalam perutnya.

Harimau betina itu yang berusia 10 hingga 15 tahun turut disifatkan PERHILITAN sebagai ibu muda dengan beratnya dianggarkan 100 kilogram.

Haiwan itu mati selepas dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu Mohd Syahrin dalam kejadian jam 1 pagi dipercayai ketika sedang melintas lebuh raya terbabit.

Ketika kejadian itu, Mohd Syahrin bersama isterinya, Masturawati Asari, 42, serta tiga anak mereka, Muhammad Adam Syafril, 16; Nur Sarah Aina, 13, dan Nur Ain Sofi, 10, dalam perjalanan dari Ampang pulang ke Kampung Pusu 3.

“Saya sendiri mengalirkan air mata selepas kejadian itu sebaik mendapati haiwan yang dilanggar itu adalah seekor harimau.

“Saya juga melarang apabila ada beberapa pengguna lebuh raya yang berhenti melihat kejadian itu mahu mengambil bangkai harimau terbabit kerana ia menyalahi undang-undang,” katanya.

myMetro 8 Februari 2016


Petanda baru jejak pencuri

Kuala Terengganu: Dua individu yang gambar mereka viral di laman sosial serta masing-masing menaiki Proton Wira dan Toyota Hilux diburu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi membantu siasatan terhadap kehilangan taring harimau bunting yang mati dilanggar sebuah kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) pada 6 Februari lalu.

Pengarah PERHILITAN Terengganu, Mohd Hasdi Husin berkata, gambar dua lelaki yang viral sejak kelmarin itu memberi petanda baru kepada jabatannya menjejaki individu bertanggungjawab.

“Kami akan berikan imbuhan istimewa kepada sesiapa yang menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya suspek yang boleh didakwa mengikut Seksyen 68(1)(C) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan jika sabit kesalahan boleh didenda antara RM100,000 hingga RM500,000 dan penjara lima tahun.

“Sehingga kini, tujuh individu iaitu empat kakitangan LPT2, dua kakitangan PERHILITAN yang menerima bangkai harimau daripada pihak lebuh raya dan pemandu yang merempuh harimau itu disoal siasat,” katanya.

Pihaknya akan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) di plaza tol di LPT2 untuk membantu siasatan.

Pihaknya minta kerjasama semua pihak terutama orang awam untuk menyalurkan maklumat mengenai dua suspek yang dipercayai terbabit secara langsung dengan kegiatan mengeluarkan taring dan misai pada bangkai harimau betina itu.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua lelaki yang sedang diburu itu boleh menyalurkan maklumat itu kepada PERHILITAN di talian 09-6221460 atau terus ke Pejabat PERHILITAN terdekat.

myMetro 17 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment