February 16, 2016

Hanya satu tangan

ALIF menyesuaikan diri dengan hanya bertangan satu.

Nibong Tebal: “Setiap kali dia bertanya di mana tangannya, saya terpaksa berbohong konon doktor simpan untuk mengubatinya,” kata Nor Azilawati Che Ahmad, 25, ibu kepada Alif Haikal Mohd Ayob, 6, yang tangan kirinya terpaksa dipotong dari paras bahu akibat barah tulang.

Menurutnya, 5 Februari lalu, tangan kiri anaknya terpaksa dipotong dari paras bahu kerana tidak dapat diselamatkan lagi selain bimbang berlaku jangkitan dan sel barah merebak ke bahagian paru-paru.

“Saya dan suami, Mohd Ayob Ahmad, 28, dan seluruh keluarga terpaksa memujuk Alif untuk menerima takdir tangan kirinya sudah tiada,” katanya yang ditemui di rumah keluarganya di Kampung Tasek Cempedak di sini, semalam.

Katanya, keadaan Alif semakin stabil dan anak tunggalnya itu kini sedang belajar menerima hakikat yang tangan kirinya sudah tiada.

“Setiap kali mahu keluar rumah, dia akan memakai jaket lengan panjang untuk menutup tangannya selain topi untuk menutup rambutnya yang keguguran kesan rawatan kemoterapi.

“Alif juga tidak seaktif dan seceria seperti dulu. Kini dia lebih suka bersendirian atau hanya ditemani saya dan suami,” katanya.

Menceritakan kejadian awal yang menimpa anaknya itu, Nor Azilawati berkata, Alif disahkan menghidap barah tulang tahap tiga pada November tahun lalu selepas bahu kirinya bengkak akibat terjatuh ketika bermain di rumah mentuanya.

“Akibat terjatuh ketika bermain, bahagian bahu kirinya patah dan dia ditahan di wad selama seminggu selain disimen dari paras bahu ke lengan, namun selepas simen dibuka, bahunya terus membengkak.

“Ketika itulah doktor mengesahkan anak kami menghidap barah tulang tahap tiga dan mencadangkan tangan kiri Alif dipotong, namun kami sekeluarga tidak bersetuju,” katanya yang redha.

Sementara itu, Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Seberang Perai Selatan Mohd Kaffe Miskam berkata, semalam pihaknya melawat rumah keluarga Alif dan menyampaikan sumbangan Bantuan Tabung Segera Persekutuan sebanyak RM300.

Menurutnya, selain itu, pihaknya juga menyerahkan borang permohonan orang kelainan upaya (OKU) serta bantuan kewangan.

“JKM akan membantu Alif dan meringankan beban ditanggung ibu bapanya yang hanya bekerja sebagai pembantu di pasar malam dengan pendapatan RM700 sebulan,” katanya.

Harian Metro pada 28 Januari lalu pernah melaporkan kisah adik Alif apabila tangan kirinya membengkak sehingga 45 sentimeter selepas disahkan menghidap barah tulang tahap tiga.

myMetro 13 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment