February 3, 2016

Hancur luluh hati mereka

NOOR Azlina (kanan) dan Rosminahwati (mengelap air mata) di hadapan kubur Nur Najjuwa Arianna. FOTO Mohd Hilmie Hussin

Jasin: "Saya tidak percaya selagi tidak nampak jasadnya, jadi saya masih bertenang apabila tiba di sekolah sehinggalah saya nampak seluar trek dipakai ketika anak saya dikeluarkan dari lubang kumbahan.

“Ketika itulah saya pasti yang itu adalah anak saya," kata Raja Mohamad Shahrunnizam Raja Harun, 44, bapa kepada Raja Nur Najjuwa Arianna,7, yang meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di belakang bangunan Sekolah Rendah Agama JAIM Parit Penghulu Benteng, Sungai Rambai, di sini, 4.45 petang semalam.

Menurutnya, hancur luluh hatinya apabila melihat sekujur tubuh anaknya tidak lagi bernyawa.

Raja Mohamad Shahrunnizam ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Penghulu Benteng selepas pengkebumian anak kelima dari tujuh beradik itu, pagi tadi.

Ibu arwah, Noor Azlina Roslan, 32, dan madunya Rosmimahwati Abu Bakar, 48, turut hadir di tanah perkuburan itu.

Difahamkan, kali terakhir Noor Azlina menatap wajah anaknya kira-kira 1 tengah hari semalam apabila singgah ke rumah Rosmimahwati sebelum ke tempat kerja di Hospital Muar.

myMetro 2 Feb 2016


Peluk erat anak lain lepas rindu pada Awa

Jasin: “Jika saya terlalu rindukan Awa, saya akan peluk erat anak-anak yang lain untuk melepaskan kerinduan,” kata Noor Azlina Roslan, 32, ibu kepada murid tahun satu, Raja Nur Najjuwa Arianna Raja Mohd Shahrun Nizam, 7, yang meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di sekolahnya awal bulan lalu.

Raja Nur Najjuwa Arianna lebih mesra dipanggil Awa dalam kalangan keluarganya.

Noor Azlina berkata, dia akan ke kubur arwah anaknya setiap hari sebelum ke tempat kerja bagi melepas rindu.

Menurutnya, walaupun sudah lebih dua minggu kejadian berlaku, ketiadaan Raja Nur Najjuwa Arianna sangat dirasai.

“Saya terima ketiadaan anak saya, namun ia tidak dapat menghalang rindu saya kepada Awa.

“Anak-anak yang lain juga sering bertanyakan Awa dan tidak ceria seperti selalu kerana sering teringatkan arwah. Tambahan pula arwah anak yang paling riuh dalam kalangan adik-beradiknya,” katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia Datuk Shamsul Anuar Nasarah di kediamannya di Kampung Parit Penghulu Benteng, di Sungai Rambai di sini, kelmarin.

Noor Azlina berkata, dia terasa janggal setiap pagi ketika hendak ke tempat kerja kerana hanya tiga anak yang menghantarnya ke muka pintu.

“Sebelum ini, setiap kali hendak pergi kerja, keempat-empatnya pasti menghantar saya ke muka pintu, namun kini hanya tiga yang tinggal,” katanya.

Pada lawatan itu, Shamsul Anuar menyampaikan sumbangan kepada bapa arwah, Raja Mohd Shahrun Nizam Raja Harun.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, sumbangan terbabit adalah tanda keprihatinan dan simpati pihaknya terhadap keluarga arwah.

“Sumbangan berupa wang tunai ini tidak boleh menggantikan nyawa arwah, namun ia sebagai tanda prihatin UMNO dalam mendekati masalah dihadapi rakyat,” katanya.

myMetro 23 Februari 2016


0 comments:

Post a Comment